Sunday, August 2, 2015

Surau Penjara Pudu ‘mangsa’ pembangunan

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Selepas 49 tahun berdiri sebagai rumah ibadat di tapak bangunan bersejarah Penjara Pudu, Surau An-Nur Penjara Pudu (Surau Jumaat) kini turut menerima nasib sama apabila bakal dirobohkan bagi tujuan pembangunan komersil.

Mengikut surat yang diwartakan pemaju, UDA Holdings Property Development (UDA) bakal melakukan kerja-kerja pembersihan pada waktu terdekat.
Difahamkan, tapak itu akan dibangunkan sebagai tapak pusat membeli belah terkemuka serta kawasan perumahan mewah.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Mempertahankan Surau An-Nur Penjara Pudu, Zakaria Omar berkata, pihaknya kecewa kerana pemaju tidak pernah mengadakan rundingan dengan kariah surau.

Malah, tiada sebarang tapak atau surau alternatif ditawarkan UDA bagi menggantikan surau lama itu.
“Kami mahu surau ini dikekalkan sebagai rumah ibadat, sepatutnya surau ini diperbesarkan menjadi 2 tingkat kerana pertambahan penduduk semakin pesat di kawasan sekitar,” katanya.

Zakaria berkata, laluan lorong Hang Tuah menuju ke surau berkenaan kini mula ditutup namun pihaknya masih bertegas dan menjalankan aktiviti di surau tersebut seperti biasa.
Sehubungan itu, beliau berkata jawatankuasa terbabit bersama beberapa NGO seperti Badan Bertindak Imarah Masjid dan Surau Wilayah Persekutuan, Pertubuhan Api Sejagat Malaysia (API), memohon kepada pemaju supaya lorong tersebut dibuka.

Surau yang mampu menampung kira-kira 1,800 jemaah suatu ketika dahulu pernah menjadi tempat bagi penghuni Penjara Pudu menjalankan ibadat.
Pada tahun 1997 apabila Penjara Pudu dikosongkan dan berpindah ke Sungai Buloh, hal pentadbiran surau ini diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Mengikut perjanjian antara UDA, Penjara Pudu, Surau An-Nur dan Jais, UDA tidak boleh merobohkan surau itu sesuka hati tanpa merujuk kepada Jais.
Namun isu perobohan mula timbul pada pertengahan Mei lalu apabila UDA mula giat menjalankan kerja pembangunan semula tapak Penjara Pudu sebagai kawasan komersil. - HARAKAHDAILY 1/8/2015

No comments:

Post a Comment