02/09/15
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan
Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) berkuat kuasa secara rasmi mulai 1
September 2015.
Beliau berkata penguatkuasaan POTA itu selaras
dengan pembentangan Kertas Putih oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib
Tun Razak pada 26 November 2014 bertajuk 'Ke Arah Menangani Ancaman
Kumpulan Militan Islamic State' di Dewan Rakyat.
Ahmad Zahid yang
juga menteri dalam negeri berkata susulan daripada itu, kerajaan telah
pun membentangkan Akta Pencegahan Keganasan 2015 [Akta 769] di Parlimen
pada sesi Mac 2015 lalu, yang boleh digunakan pihak berkuasa bagi
memastikan tiada individu yang terlepas daripada sebarang tindakan
perundangan sekiranya melibatkan diri dalam perbuatan keganasan.
"Akta
769 tersebut telah pun diperkenan oleh Seri Paduka Baginda Yang
Di-Pertuan Agong pada 28 Mei 2015 dan berkuatkuasa secara rasmi pada 1
September 2015," katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Beliau
berkata dalam penggubalan akta itu, terdapat satu undang-undang baru
yang turut digubal di samping beberapa pindaan selari yang dibuat
terhadap empat undang-undang sedia ada.
Ahmad Zahid berkata ia
bertujuan untuk memastikan undang-undang tersebut benar-benar mantap dan
komprehensif agar anasir-anasir ini tidak terlepas daripada tindakan
undang-undang.
Katanya Akta Langkah-Langkah Khas Menentang
Keganasan di Luar Negara 2015 [Akta 770] (SMATA) iaitu undang-undang
baru yang membenarkan Ketua Pengarah Imigresen menggantung atau
membatalkan dokumen perjalanan yang dikeluarkan kepada warganegara
Malaysia, yang terlibat dalam organisasi pengganas tersenarai di sesuatu
negara asing atau di mana-mana bahagian sesuatu negara asing.
Beliau
berkata menteri diberi kuasa untuk mengeluarkan suatu perintah menuntut
penyerahan dokumen perjalanan asing milik seseorang bukan warganegara
Malaysia, yang terlibat dengan pengganas di sesuatu negara asing, dan
diserahkan kepada polis serta ditahan 14 hari untuk proses siasatan.
Katanya,
empat pindaan selari tersebut adalah Kanun Keseksaan (Pindaan) 2015
(KK); Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Pindaan) 2015
(SOSMA); Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan) 2015 (POCA); dan Akta Penjara
(Pindaan) 2015.
"Akta Langkah-Langkah Khas Menentang Keganasan di
Luar Negara 2015 (SMATA), Kanun Keseksaan (Pindaan) 2015 (KK) dan Akta
Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Pindaan) 2015 (SOSMA)
telah pun dikuatkuasakan pada 15 Jun 2015," katanya.
Beliau
berkata Akta Pencegahan Keganasan 2015 ini dikuatkuasakan bersekali
dengan Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan) 2015 dan Akta Penjara (Pindaan)
(No.2) 2015 iaitu pada 1 September 2015.
- Bernama
No comments:
Post a Comment