Wednesday, September 23, 2015

Penyakit anjing gila: Guan Eng selar NGO beri kenyataan tidak benar

 | September 22, 2015
Langkah kerajaan negeri membunuh anjing jalanan untuk membasmi wabak anjing jalanan atau rabies mendapat bantahan NGO.
lim-guan-eng_rabies_votes_600
GEORGETOWN: Ketua Menteri, Lim Guan Eng menyelar dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Save Our Strays (SOS) Penang dan NGO luar negara, Mission Rabies yang mendakwa kerajaan negeri tidak memberi sebarang respon terhadap usaha membasmi wabak penyakit anjing gila atau rabies.

Beliau menyifatkan perkara itu sebagai tidak benar kerana kerajaan negeri telah mengadakan perjumpaan bersama pengasas SOS, April Sham pada Ahad lepas, selain mengadakan persidangan televideo dengan wakil Perkhidmatan Veterinari Sedunia (WVS) bagi membincangkan penyelesaian terbaik bagi mengatasi wabak itu.

“Saya kesal dengan kenyataan Mission Rabies kerana mereka merupakan badan antarabangsa dan tidak harus mengeluarkan kenyataan tidak benar,” katanya pada sidang media pada Selasa.

Langkah membunuh anjing-anjing jalanan di Pulau Pinang diumumkan Guan Eng pada Khamis lepas bagi mengawal merebaknya rabies.
Tindakan itu bagaimanapun dibantah oleh beberapa NGO yang turut berhimpun di depan pejabat kerajaan negeri di KOMTAR pada Jumaat lalu.

Sebuah NGO Stop Killing, Start Vaccinating menyeru kerajaan negeri supaya menghentikan aktiviti pelupusan anjing jalanan di sekitar Pulau Pinang yang dianggap kejam.
“Kes ini bukanlah isu politik yang akan menaikkan populariti saya, tetapi ia merupakan kes yang perlu ditangani dengan lebih serius kerana ia melibatkan nyawa manusia, ” katanya.

Guan Eng berharap agar NGO terbabit tidak terlalu emosi kerana kerajaan negeri hanya menjalankan tanggungjawab demi menjaga kepentingan dan kesejahteraan orang awam.

1 comment:

  1. YB minta ngo2 tsb supaya mengerahkan ahli2 mrk utk membantu menangkap dan menyuntik anjing2 tsb. biar mrk tahu mcm mana susah dan bahaya menangkap anjing liar.

    ReplyDelete