FMT - Adam Abu Bakar
Antara persamaan itu adalah alasan politik yang
diberikan oleh kedua-dua pihak dan juga dakwaan bahawa rakyat jelata
tidak akan rugi apa-apa terhadap apa yang berlaku.
PETALING JAYA: Wartawan veteran, Datuk A. Kadir Jasin melihat
terdapat beberapa persamaan mengenai kes rasuah bekas Menteri Besar
Selangor Dr. Khir Toyo dan juga isu wang derma RM2.6 bilion yang
dimasukkan ke dalam akaun Datuk Seri Najib Tun Razak.
Katanya, antara persamaan itu adalah alasan politik yang diberikan
oleh kedua-dua pihak dan juga dakwaan bahawa rakyat jelata tidak akan
rugi apa-apa terhadap apa yang berlaku.
“Dr. Khir menafikan penglibatannya tetapi Najib terus berdiam diri
malah tidak menafikan pula kewujudan akaun peribadi RM2.6 bilion itu.
“Selain, para penyokong beliau (Najib) mendakwa wang itu adalah
‘derma’ daripada seorang dermawan misteri dari negara Arab,” tulisnya di
blog.
Kadir berkata, sehingga kini barisan peguam Najib masih
berdolak-dalik mengenai ancaman saman terhadap Wall Street Journal
kerana mendedahkan isu wang derma tersebut walaupun ancaman saman itu
dikeluarkan hampir tiga bulan lalu.
Beliau berkata, kes Dr. Khir juga akan menambah kebimbangan pihak
yang terbabit atau dikaitkan dengan kontroversi syarikat 1Malaysia
Development Berhad (1MDB).
Katanya, hukuman penjara selama 12 bulan terhadap Dr Khir juga memberi kesan psikologi yang positif kepada rakyat jelata.
“Rakyat dapat melihat bahawa tidak ada sesiapa pun berada di atas
daripada undang-undang (above the law). Selain, pemimpin politik juga
masih boleh disiasat, didakwa dan didapati bersalah mengikut
undang-undang negara,” katanya.

No comments:
Post a Comment