Rita Husni
KOTA BHARU - Kekurangan diri apabila disahkan mengidap penyakit
berkaitan saraf sejak berusia 4 tahun tidak mematahkan semangat Rita
Husni Md Nordin, 39, untuk menjalani kehidupan normal.
Menceritakan detik dia mula-mula disahkan mengidap penyakit
‘Neurofibromatosis’ (berkaitan saraf), Rita berkata pada mulanya
wajahnya ditumbuhi beberapa benjolan kecil seperti demam campak.
“Ibu bapa saya tidak menyangka, benjolan itu semakin besar apabila saya
melakukan pemeriksaan di hospital dan menjalani pembedahan untuk
membuang benjolan itu.
“Benjolan terbabit tumbuh semakin banyak sehingga memenuhi seluruh
wajah saya namun ia tidak menyakitkan dan sejak dari itu, saya nekad
untuk tidak melakukan pembedahan untuk membuangnya walaupun semakin lama
ia tumbuh memenuhi wajah saya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui
selepas menghadiri majlis Hari Wisma dan Mini Karnival Kemas di sini.
Rita yang juga Penolong Pengarah di Jabatan Tenaga Kerja di negeri ini,
masih mampu bergaul mesra dengan orang ramai walaupun ada di antara
orang luar yang pelik dengan keadaan dirinya, dia tidak pernah
menyalahkan pihak terbabit.
“Ini merupakan penyakit keturunan dari keluarga, dan adik perempuan saya juga turut mengalami simptom yang sama dengan saya.
“Saya tidak pernah menyalahkan sesiapa di atas kekurangan diri ini dan
menjadikan ia sebagai motivasi diri dan jika saya turut bertemu orang
ramai, saya juga akan menyampaikan ceramah motivasi dan keadaan inilah
yang menjadi pendorong semangat kepada saya untuk lebih berjaya.
“Alhamdulillah suami dan anak saya juga menjadi pendorong utama untuk
saya dan Insya-Allah kawan-kawan juga tidak mempunyai masalah dengan
saya.
“Saya juga mengharapkan jika ada golongan yang mempunyai nasib seperti
saya ini, kuatkan lah semangat anda kerana kekurangan ini bukan
penghalang semangat untuk berjaya ke peringkat lebih baik malah sebagai
satu motivasi kepada diri dan teruskanlah usaha untuk mencapai apa yang
diimpikan kerana tuah tidak datang bergolek,” katanya.
No comments:
Post a Comment