Saturday, February 6, 2016

Pencapaian akademik Ahmad Bashah bukan punca utama

Mahfuz Omar
Mahfuz Omar
SHAH ALAM - Pencapaian akademik Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang tidak mempunyai kelulusan universiti bukan punca utama sebilangan pihak yang mengeluarkan kata-kata kurang sopan terhadapnya.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mendakwa, cara digunapakai olehnya untuk mendapat jawatan itu yang menjadi punca.
"Kemarahan rakyat Kedah bukan kerana mereka telah matang dalam politik. Apa yang dilihat mereka keutamaan pada diri seseorang pemimpin itu adalah sikap amanah, integriti dan bijaksana," katanya menerusi kenyataan media yang dikeluarkan hari ini melalui laman Facebook.

Terdahulu, Ahmad Bashah diumumkan sebagai Menteri Besar Kedah yang baru selepas Mukriz mengumumkan pengunduran beliau.
Sebelum dilantik menjadi Menteri Besar, Bashah sering menjadi serangan netizen yang meluahkan kritikan berikutan beliau tidak mempunyai taraf  pendidikan universiti.

Dalam pada itu, Mahfuz yang juga merupakan bekas Ketua Penerangan Pas memaklumkan bahawa Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahatir yang mengamalkan prinsip berkata benar terpaksa menjadi mangsa selepas digulingkan oleh kumpulan perampas yang diketuai Bashah.

Mahfuz berkata, beliau yakin masyarakat Kedah  masih memberi sokongan penuh kepada pimpinan Mukriz memandangkan rakyat negeri berkenaan memiliki nilai harga diri dan akal yang tinggi.
"Apa yang dapat diharap kepada MB baru dan Exco-exco yang bakal dilantik nanti kalau keberadaan mereka di situ hanya untuk menjadi lembu dicucuk hidung oleh gembala lembu Putrajaya?

"Tetapi saya yakin bahawa saya dan adinda Mukriz masih punya sokongan rakyat Kedah yang memiliki ketinggian nilai harga diri dan akal budi, beramah serta berintegriti yang bersedia menebus maruah demi sebuah negeri," katanya.

No comments:

Post a Comment