Sinar Harian
KUALA LUMPUR - Beliau sering tampil berbaju kurung biru dengan paparan
wajah tenang dan bersahaja, namun wanita ini lebih sinonim dengan
ketegasannya sebagai gabenor sehinggakan diyakini serta disegani oleh
masyarakat.
Tugas digalasnya sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) juga sukar -
mengimbangi cabaran pengurusan termasuk menangani satu demi satu krisis
kewangan, namun ia sedikit pun tidak menjejaskan Tan Sri Zeti Akhtar
Aziz yang terus mengekalkan reputasi cemerlangnya sehinggalah pada
detik-detik akhir
tempoh 16 tahun mengemudi bank pusat berkenaan.
Bergelar gabenor wanita pertama Malaysia, Zeti disifatkan sebagai
berkelayakan memikul tanggungjawab itu, malah sering dirujuk ketika
tempoh sukar bagi menepis cabaran yang bertandang.
Namun pujian yang diterima enggan dibolot sendirian, sebaliknya beliau
berulang kali menegaskan "ia adalah hasil kerja dan usaha secara
berpasukan."
Zeti sememangnya mengagumi kegigihan dan komitmen para pekerja BNM
menjayakan mandat bank pusat itu dan atas dasar itu, kejayaan yang
datang enggan dikaitkan atas kapasitinya sebagai individu.
"Saya tidak melakukannya secara sendirian, sebaliknya disokong pasukan
yang padu," katanya sambil memberi jaminan bahawa institusi itu kekal
kukuh serta berdaya tahan selepas persaraannya.
Baginya, keupayaan mengurus cabaran, termasuk krisis adalah antara
pencapaian BNM selain kejayaan aspek penyepaduan kewangan serantau dan
pembangunan kewangan Islam yang diiktiraf kalangan masyarakat
antarabangsa.
"Sudah pasti ia sesuatu yang menggembirakan apabila dapat menyaksikan
(pencapaian) itu sepanjang tempoh kerjaya. Namun, ini hasil usaha
berkumpulan dan saya amat bertuah dapat mengetuai pasukan ini," katanya.
Mengulas antara perkara yang diharapkan mampu disempurnakan BNM, Zeti
berkata : "Saya berharap yang kita dapat menyegerakan usaha peralihan
kepada e-pembayaran. BNM sendiri turut mengutamakan perkara ini kerana
manfaatnya yang besar."
Sudah pasti, antara pertanyaan yang sering dilontarkan kepada wanita ini adalah mengenai penggantinya.
Malah, sewaktu menghadiri majlis taklimat untuk pengarang kanan sebelum
ini, Zeti menegaskan penggantinya itu seharusnya diterima pasaran.
"Ia lebih kepada bagaimana orang ramai berkeyakinan bahawa anda
melakukan perkara betul dan anda berupaya melakukannya serta keyakinan
mereka bahawa anda boleh melakukannya," tegasnya.
Ternyata, gambaran itu menepati legasi dirinya sebagai gabenor yang
bukan setakat diterima pasaran mahupun kalangan penggiatnya, malah
ulasan serta respon Zeti terhadap sebarang isu berbangkit, sememangnya
sesuatu yang dinantikan.
Malah, penggantinya iaitu Datuk Muhammad Ibrahim juga memiliki
kemampuan itu selain dihormati dan dipercayai oleh industri kewangan.
Bagi prospek masa depan, Zeti memberi jaminan bahawa BNM berada pada
kedudukan kukuh berikutan asasnya yang berpaksikan kekuatan barisan
tenaga pekerjanya.
BNM turut melabur dalam pembangunan modal insan secara berterusan bagi
memastikan kakitangannya sentiasa memiliki pelbagai kemahiran, cekap,
komited serta tinggi nilai integriti.
Zeti adalah graduan jurusan ekonomi Universiti Malaya dan memperolehi
Ijazah Doktor Falsafah daripada University of Pennsylvania, Amerika
Syarikat.
Memulakan kerjaya beliau sebagai penyelidik ekonomi di Pusat Latihan
dan Penyelidikan Bank Pusat Asia Tenggara (SEACEN) dari tahun 1979
hingga 1984, beliau menyertai BNM pada 1985 dan menjadi Gabenor yang
ketujuh pada Mei 2000, jawatan yang dipegang hingga akhir April 2016.
Beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Perwakilan BNM di London,
bertugas sebagai Ketua Pakar Ekonomi dan Ketua Jabatan Ekonomi BNM dan
dilantik Timbalan Gabenor yang bertanggungjawab untuk ekonomi,
pengurusan rizab, operasi pasaran wang dan asing serta kawalan
pertukaran.
Ketokohan Zeti menyerlah berikutan keberanian beliau semasa kemuncak
krisis kewangan Asia, yang menyaksikan pelantikannya sebagai Pemangku
Gabenor pada 1 September 1998, jawatan yang dipegang selama dua tahun.
Beliau dan pasukannya mempunyai peranan penting dalam menguruskan
sistem kewangan semasa krisis tersebut yang akhirnya membawa kepada
pemulihan ekonomi Malaysia yang kukuh.
Mekanisme yang diperkenalkannya tidak disenangi Tabung Kewangan
Antarabangsa (IMF) kerana kawalan modal yang diperkenalkan ternyata
beralih daripada pendekatan konvensional bagi pengurusan sistem ekonomi
dan kewangan, namun terbukti berjaya membantu Malaysia menempuh krisis
itu.
"Ia memang sukar bagi sebuah bank pusat di negara sedang pesat
membangun untuk beralih daripada konvensional. Anda perlu benar-benar
pasti bahawa sebagai sebuah organisasi, kita berdiri atas asas yang
kukuh dan pasti dengan matlamat yang ingin dicapai selain memiliki
keupayaan untuk merealisasikannya," katanya yang dipetik sebelum ini.
Bukan sahaja beliau telah membantu memacu ekonomi melalui krisis
kewangan Asia 1998 dan menghadapi krisis kewangan global 2009, beliau
turut mendapat pujian sebagai suara ekonomi sedang pesat membangun yang
mahu mereka mempunyai peranan lebih besar dalam ekonomi global.
Beliau dan pasukannya turut terlibat dalam transformasi sistem kewangan
Malaysia, menjadikannya kukuh, stabil dan berdaya tahan untuk
menghadapi ketidaktentuan dan kejutan masa depan.
"Pusat pertumbuhan masih bertumpu di negara sedang pesat membangun.
Walaupun kita memperakui penyederhanaan dalam pertumbuhan di negara
sedang pesat membangun, kita masih mewakili pusat pertumbuhan dalam
ekonomi global," kata beliau baru-baru ini.
Dilahirkan di Johor Bahru pada 27 Ogos, 1947, Zeti merupakan anak
tunggal kepada tokoh ilmuwan terkenal, Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz
dan tokoh budayawan negara, Allahyarham Sharifah Azah Mohamed Alsagoff
atau lebih dikenali sebagai Puan Azah Aziz.
Bapanya yang lebih dikenali sebagai Ungku Aziz adalah bekas Naib
Canselor Universiti Malaya dari 1968-1988, ahli akademik dan ahli
ekonomi terkenal, merupakan individu yang bertanggungjawab mengilhamkan
penubuhan Tabung Haji yang telah membantu ramai umat Islam dalam
menunaikan ibadah haji.
Ibu beliau, Allahyarham Puan Azah Aziz, seorang ikon budaya Melayu yang
terkenal dan dihormati yang memperjuangkan dalam memelihara budaya
Melayu tradisional sebenar.
Allahyarham turut dikenali dengan penampilannya yang sering berbaju
kurung, ciri yang turut diterapkan kepada anak perempuannya.
Seiringan Zeti dalam sektor kewangan, keluarga ini selayaknya mendapat
penghargaan daripada rakyat Malaysia di atas sumbangan cemerlang mereka
kepada masyarakat dan negara.
Sementara itu, antara pengiktirafan kepada Zeti termasuklah terpilih
sebagai antara Ketua Bank Pusat Terbaik Dunia oleh majalah Global
Finance pada 2009, Tokoh Ma'al Hijrah 1432H pada 2010 dan menerima
penarafan Gred A untuk ketua bank pusat kali ke-10 oleh majalah kewangan
Global Finance.
Beliau berkahwin dengan Datuk Dr Tawfiq Ayman dan mereka mempunyai dua anak. - Bernama
No comments:
Post a Comment