SETELAH kira-kira 10 tahun menyepikan diri dalam dunia
sukan badminton, bekas pemain perseorangan negara, Ong Ewe Hock kini
tampil semula bagi mewarnai dunia sukan yang ditinggalkannya dulu.
Ewe Hock mengakui dia sebelum ini mendiamkan diri kerana sudah bosan
dengan masalah-masalah yang melanda arena sukan badminton tanah air.
“Saya mempunyai prinsip di mana sekiranya kita tak boleh tukar atau
menyelesaikan sesuatu masalah, lebih baik kita pergi dan jika hendak
buat kemunculan semula, seharusnya ada perubahan,” katanya ketika
ditemui Sinar Online hari ini.
Selepas bersara sejak 2003 hingga 2012 lalu, Ewe Hock memaklumkan dia
banyak terlibat dalam menguruskan pasukan Serdang Badminton Club yang
dikendalikannya sendiri bagi menyertai beberapa kejohanan termasuk Liga
Purple Malaysia.
Selain daripada itu, Ewe Hock memaklumkan bahawa dalam tempoh 10 tahun
tersebut, dia banyak menumpukan perhatian kepada perniagaan
persendiriannya di beberapa negara luar seperti China.
“Saya hilang dalam 10 tahun untuk menceburi bidang perniagaan di luar
negara dan selepas itu sejak 2012 saya kembali untuk membawa pasukan
Serdang BC menyertai beberapa kejohanan di negara ini,” katanya.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai industri badminton negara pada masa
kini, Ewe Hock mengakui proses pembangunan pemain pada masa kini agak
perlahan jika dibandingkan pada tahun 50an dahulu.
Katanya, pihak pengurusan perlu mencari langkah alternatif bagi
menaikkan semula industri badminton negara memandangkan Malaysia
merupakan antara negara terkuat pada satu masa dahulu.
“Pada pandangan saya, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) harus ketatkan
pentadbiran mereka sebab saya nampak di kalangan pemain badminton,
disiplinnya sudah kurang. Itulah sebab kita banyak pemain yang tidak
kuat dari segi mental dalam setiap perlawanan,” katanya.
No comments:
Post a Comment