Jamal Yunos enggan mengulas sebarang kenyataan berkaitan Ali Tinju
PETALING JAYA: Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos
enggan mengulas ramalan Presiden Gerakan Baju Merah, Mohd Ali Baharom
bahawa BN akan kalah besar jika beliau bertanding pada Pilihan Raya
Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar.
Ini kerana tegasnya, Mohd Ali yang lebih dikenali sebagai Ali Tinju tidak setaraf dengannya.
“Kalau Ali Tinju ini saya malas dah nak komen. Dia bukan ‘standard’
saya nak komen. Saya tak nak komen mengenai apa-apa berkaitan Ali
Tinju,” katanya ringkas kepada FMT.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ali Tinju bahawa
BN akan kalah teruk jika menurunkan Jamal pada PRK Parlimen Sungai
Besar, susulan kematian penyandangnya, Datuk Noriah Kasnon dalam tragedi
helikopter terhempas di Sebuyau, Sarawak Khamis lalu.
Ali Tinju dilaporkan sebagai berkata, BN bukan saja akan kalah, malah
parti itu bakal membazirkan wang dan tenaga jika menurunkan Jamal.
Musuh ketat Jamal itu berkata, Gerakan Baju Merah juga tidak akan
membantu kempen BN pada PRK Sungai Besar jika Jamal menjadi calon BN,
sebaliknya beliau dan ahlinya akan berkempen untuk BN di Parlimen Kuala
Kangsar.
Semalam, Jamal menyenaraikan tujuh calon berpotensi untuk mewakili BN
bagi berdepan Pilihan Raya Umum akan datang dan berkemungkinan calon
itu akan dipilih bagi mewakili BN pada PRK Sungai Besar nanti.
Suruhanjaya Pilihan Raya akan mengadakan mesyuarat khas pada Jumaat
ini bagi menetapkan tarikh PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar, susulan
kematian Noriah dan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad
Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter, minggu lalu.
Pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu, BN menang tipis di Parlimen Sungai
Besar apabila Allahyarhamah Noriah menewaskan calon PAS dengan majoriti
399 undi
No comments:
Post a Comment