Tuesday, May 10, 2016

'Tiada kata-kata untuk rasuah terbuka'

Malaysiakini 10/5/16

Jangan beri muka - itu pandangan Tengku Mahkota Johor terhadap pesalah rasuah bola sepak negara.

Menyatakan pandangannya di Facebook Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata pengampunan kepada bekas pemain yang sebelum ini digantung kerana aktiviti rasuah tidak memberi pengajaran yang sepatutnya untuk mereka.

Malah kata beliau tindakan memberi kelonggaran itu tidak memberi pengajaran kepada pemain generasi baru.

"Adakah FAM mengambil kira kesan (jangka) panjang terhadap bola sepak tanah air kerana sekiranya gejala rasuah dianggap mudah untuk diberi pengampunan, bagaimanakah ianya akan menjadi pengajaran kepada pemain generasi baru?" kata beliau.
FAM semalam mengumumkan menerima rayuan lebih 70 bekas pemain bola sepak yang sebelum ini pernah dikaitkan dengan aktiviti rasuah serta menjual perlawanan.

Melalui 'pengampunan' itu pemain era 1990-an terbabit boleh membabitkan diri dalam kegiatan bola sepak, termasuk menjadi jurulatih - jika berkelayakan.

Tunku Ismail berkata FAM sepatutnya bersikap tegas dengan pendirian asal dan "tidak memberi muka kepada pesalah-pesalah" berkenaan.
Katanya, sukan bola sepak ketika ini "sudah mula menuju ke kancah kegemilangan".

Bagaimanapun katanya tindakan FAM itu seolah-olah membenarkan gejala rasuah kembali bertapak dalam sukan bola sepak "kerana pemain tidak lagi akan dihantui perasaan takut" kepada penggantungan.

"Terjebak dengan rasuah sudah cukup memburukkan keadaan tetapi rasuah secara terbuka tidak ada kata-kata untuk dikatakan," katanya

No comments:

Post a Comment