Sinar Harian
SHAH ALAM - Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas, Datuk Dr Mohd Khairuddin
Aman Razali mengesahkan beliau terpaksa pulang ke Semenanjung melalui
penerbangan 7.10 malam ini selepas tidak dibenarkan memasuki Sarawak,
petang tadi.
Namun beliau akur dengan hak autonomi imigresen yang diberikan oleh Perlembagaan kepada negeri itu.
“Saya tiba di Kuching dari Kuala Lumpur jam 4 petang tadi untuk tujuan
meneruskan tugasan kempen pilihan raya. Ini kali ke-3 saya ke Kuching
untuk pilihan raya negeri.
“Saya dimaklumkan oleh pegawai imigresen bertugas bahawa saya tidak
dibenarkan masuk ke Sarawak. Saya bertanya, adakah peluang untuk saya
merayu sekurang-kurangnya masuk dan pulang esok. Kata pegawai bertugas,
‘kami tak ada kuasa untuk menerima rayuan’,” katanya kepada Sinar
Online.
Sebelum ini, beberapa pimpinan pusat parti-parti pembangkang termasuk
PKR, DAP dan Pas terpaksa pulang ke Semenanjung sebelum hari pengundian,
Sabtu ini apabila tempoh lawatan mereka dihadkan kepada beberapa hari
sahaja.
Ada juga pemimpin yang dilarang sama sekali memasuki Sarawak dan
diarahkan menaiki penerbangan seterusnya pulang ke Semenanjung.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus mengharapkan
kerajaan BN memberi lebih lagi ruang untuk mempraktikkan demokrasi
dalam PRN Sarawak kali ini.
“Menyekat kemasukan ahli Parlimen kecil seperti saya tidak
menguntungkan imej kerajaan BN dalam pilihanraya kali ini. Ia akan
menimbulkan persoalan, adakah BN menerusi PBB merasa tergugat dalam PRN
kali ini?
“Kepada sahabat-sahabat yang dibenarkan masuk untuk terus bertugas moga
kemenangan menjadi milik Pas di 11 Dun yang ditandingi,” katanya.
Hari ini, beberapa pemimpin Pas pusat lain yang telah memasuki Sarawak
diarah meninggalkan negeri itu, selepas menerima kebenaran memasuki Bumi
Kenyalang itu sehingga 5 Mei sahaja.
Antaranya, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man;
Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan; Ketua Penerangan Pas,
Nasrudin Hassan Tantawi; Pesuruhjaya Pas Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin
Sheikh Fakhrurrazi serta puluhan petugas Pas.
No comments:
Post a Comment