Naelofar Hijab kini berada di pasaran Brunei,
Singapura, Indonesia, Amerika Syarikat, Australia dan tidak lama lagi di
London dan Istanbul.
KUALA LUMPUR: Jualan tudung Naelofar Hijab milik pelakon dan
pengacara popular Neelofar mencecah RM1.3 juta dalam tempoh tiga minit
setiap kali pesanan pembelian dibuka kepada stokis dan pelanggan.
Neelofa, 27, atau nama sebenarnya Nor Neelofa Mohd Noor berkata hasil
jualan yang tinggi dan pantas itu ialah hasil kerja keras lebih 400
stokisnya dari dalam dan luar negara.
“Setiap kali kami membuka pesanan saja, satu hingga lima minit akan
habis dijual kepada stokis. Kadang kala ia mencecah RM1.2 juta hingga
RM1.3 juta dalam masa tiga minit saja.
“Dari situ kita boleh tengok kepercayaan orang daripada segi kualiti
dan harga yang kita tawar,” katanya dipetik daripada Malay Mail Online.
Dalam tempoh dua tahun berada di pasaran, tudung jenama Naelofar
Hijab kini akan mula dijual di Kota London pada hujung bulan depan.
Sehingga kini, tudung itu berjaya menembusi pasaran Brunei, Singapura, Indonesia, Amerika Syarikat dan Australia.
Selain United Kingdom, jenama tudung itu akan dijual di Turki dan
negara lain di Eropah hasil kerjasama dengan sebuah syarikat di
Istanbul.
“Sangat luar biasa sebab mereka di luar negara terkejut dengan
koleksi kami. Mereka tidak biasa dengan tudung segera. Jadi bila kami
persembahkan, mereka anggap ia ajaib dan automatik.
“Apa yang mereka pakai, tudung panjang yang perlu dililit dan banyak
pin. Mereka tidak biasa melihat tudung berhias dan berkelipan. Mereka
biasa dengan tudung kosong dan dililit saja.
“Produk kami baru bagi mereka dan satu inovasi dalam industri. Kita
rasa Malaysia tertinggal tetapi tidak, kita maju dan moden berbanding
mereka daripada segi inovasi,” katanya.
Banyak tu gomen msia dapat gst
ReplyDelete