Wednesday, May 11, 2016

Wan Azizah jamin PKR pulih menjelang PRU14

 Wan Azizah Wan Ismail
Wan Azizah Wan Ismail
SHAH ALAM - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memberi jaminan bahawa PKR akan belajar daripada kelemahan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11 sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Menurut Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, beliau telah meminta kepimpinan parti untuk mengenal pasti kelemahan dan mengambil langkah-langkah perlu untuk membetulkan strategi dan kemampuan dalam menghadapi pilihan raya yang lebih besar. 

"Ini ialah apa yang boleh saya tawarkan dan berjanji bahawa kita perlu pulihkan parti dan lebih bersedia untuk pertarungan akan datang demi keadilan," Wan Azizah dipetik sebagai berkata menerusi sebuah portal, hari ini.

Menurut Wan Azizah lagi, beliau memahami perjuangan pembangkang semasa pilihan raya negeri Sarawak akibat 'kekurangan sumber dan ugutan' dan percaya mereka telah melakukan yang terbaik.

"Saya berdoa bahawa kami akan diberikan kekuatan sebagai pembangkang dan mereka yang cuba memperkecilkan usaha-usaha kami membawa pembaharuan ke Sarawak. Saya percaya bahawa kami boleh dan akan mengatasinya," ujarnya lagi.

Terdahulu, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengajak PKR, DAP, Pas dan Amanah menerima hakikat bahawa rakyat dengan jelas menolak pertelingkahan sesama rakan sekutu politik.
Katanya, mesej itu telah disampaikan rakyat secara lantang dan jelas menerusi keputusan PRN Sarawak Sabtu lalu.

"Rakyat Sarawak sudah pun bersuara dan kita sebagai pembangkang di peringkat nasional sewajarnya berhenti sejenak dan mendengar mesej yang ingin disampaikan mereka.

"Mesejnya lantang dan jelas, rakyat menolak pertelingkahan sesama kita. Pencapaian kita mungkin lebih baik jika sejak awal lagi kita bersatu hati dan bekerjasama seperti kelaziman kita," ujarnya dalam satu kenyataan.

No comments:

Post a Comment