Wednesday, June 22, 2016

Kesihatan ayah semakin teruk, Nurul Izzah rayu Najib

 | June 22, 2016
Anak sulung bekas ketua pembangkang itu berkata ayahnya dipindahkan dari satu tempat ke satu tempat yang lain secara drastik.
nurul-izzah_anwar_600
PETALING JAYA: Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar hari ini memohon perdana menteri mempertimbangkan rayuan supaya ayahnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ditempatkan di hospital sementara menunggu pembedahan otot bahu yang akan dilakukan pakar dari Georgetown University, Amerika Syarikat.

“Saya kira Anwar yang juga merupakan bekas pegawai kerajaan kedua tertinggi di negara, sewajarnya mendapat layanan yang jauh lebih baik daripada mantan Menteri Besar Selangor (Dr Mohamad Khir Toyo) yang diberi kemudahan tahanan parol di rumah walaupun sabitan kurang setahun,” kata anak sulung Anwar itu dalam surat terbuka kepada Datuk Seri Najib Razak.

“Saya tidak boleh terus melihat kesihatan ayahanda (Anwar) terus merosot dengan tempat penahanan yang tidak sesuai dengan keperluan ayahanda.”
Dalam suratnya, Nurul Izzah turut menyatakan kebimbangan kesihatan bekas ketua pembangkang itu semakin teruk.

Anwar, 69, kini menjalani tahun kedua hukuman penjara lima tahun, selepas disabitkan dengan kesalahan liwat pada Februari tahun lalu.
Nurul Izzah berkata ayahnya dipindahkan dari satu tempat ke satu tempat yang lain secara drastik, dan ia antara faktor beliau mengalami tekanan darah tinggi.

“Dari penjara ke mahkamah, penjara ke hospital, kemudian ke penjara lagi. Pastinya proses perpindahan ini akan menyebabkan tekanan darah menjadi tidak menentu,” katanya.

Minggu lalu, Anwar, yang pernah menjalani pembedahan sakit belakang di Jerman sejurus pembebasannya pada 2004, dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur selepas mengadu sakit belakang kronik, sebulan selepas beliau dirawat akibat tekanan darah tidak stabil.

Nurul Izzah berkata Anwar sepatutnya menerima rawatan fisioterapi berkala sementara menunggu pembedahan “reverse shoulder replacement”.
Bagaimanapun, rawatan tersebut “jarang-jarang berlaku” kerana pihak penjara enggan menghantar Anwar ke hospital untuk rawatan intensif, kata Nurul Izzah.

Menurutnya, penahanan di dalam lokap tanpa katil pada bulan pertama Anwar di penjara menyebabkan kecederaan bahu beliau semakin runcing.

No comments:

Post a Comment