Thursday, June 23, 2016

Tolak bahasa Inggeris bukan cara pertahan bahasa Melayu

 | June 22, 2016
Ahli akademi tidak patut menolak penggunaan bahasa Inggeris kerana ia adalah bahasa antarabangsa yang merupakan satu keperluan di seluruh dunia.
aziz bari
SELAYANG: Pakar undang-undang, Abdul Aziz Bari menyifatkan tindakan sesetengah pensyarah tempatan menentang penggunaan bahasa Inggeris sebagai tidak masuk akal.

Tegasnya, itu bukanlah cara untuk mempertahankan bahasa Melayu.
“Walaupun saya pro perbezaan pendapat, ini tidak betul. Ini adalah perkara salah untuk ditentang. Pokoknya anda perlu berkomunikasi dengan masyarakat antarabangsa.
“Saya tertanya-tanya kenapa masih ada profesor yang menentang (penggunaan bahasa Inggeris),” katanya kepada FMT.

Aziz berkata, bahasa Inggeris penting dalam bidang pendidikan tinggi sejak dulu lagi, justeru ahli akademik Malaysia tidak patut menolak penggunaan bahasa itu kerana ia adalah bahasa antarabangsa yang merupakan satu keperluan di seluruh dunia.
“Sekalipun Inggeris adalah bahasa kedua di sesetengah negara seperti Korea, Jepun malah Jerman, bahasa Inggeris masih satu keperluan,” katanya.

Beliau merujuk kenyataan bekas Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Prof Ghauth Jasmon pada Selasa lalu yang mengkritik ahli-ahli akademik tempatan masih menolak penggunaan bahasa Inggeris sehingga kini.

Ghauth yang merupakan Naib Canselor UM sejak 2008 hingga 2013 berkata, beliau mendapat banyak tentangan daripada pensyarah-pensyarah apabila mereka diminta menyerahkan hasil kajian serta kertas kerja kepada jurnal Pengindeksan Saintifik Antarabangsa (ISI).

Ghauth turut mendakwa pensyarah dan pelajar menentangnya apabila beliau hendak memperbaiki kemahiran pelajar dengan mengadakan kelas tambahan bahasa Inggeris.

“Profesor-profesor menentang saya. Mereka mahu singkirkan saya.
“Demonstrasi dianjurkan dengan galakan pensyarah-pensyarah. Mereka tuduh saya jadikan bahasa Melayu bahasa kedua. Untuk setahun berikutnya, saya terpaksa menulis kepada surat khabar secara berterusan untuk menjelaskan sebab saya berbuat demikian,” katanya.

Menurut Ghauth, naib canselor tidak patut menyerah kalah terhadap tekanan kerana mereka tahu langkah-langkah yang perlu diambil demi kebaikan negara.

No comments:

Post a Comment