Monday, July 18, 2016

Khalid saman Hassan isu jualan arak di Selangor

 | July 18, 2016
Saman difailkan di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi pada 29 April lepas melalui firma guaman Tetuan Faiz Fadzil & Co dan menamakan Hassan sebagai defendan.
Hassan-Mohamed-AliKUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad memfailkan saman terhadap bekas pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hassan Mohamed Ali atas dakwaan memfitnahnya berhubung isu jualan arak, kewujudan pusat judi dan rumah urut di Selangor, empat tahun lepas.

Khalid yang kini AJK Amanah memfailkan saman itu di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada 29 April lepas melalui firma guaman Tetuan Faiz Fadzil & Co dan menamakan Hassan sebagai defendan.
Dalam pernyataan tuntutannya, Khalid selaku plaintif mendakwa Hassan, yang ketika itu exco Selangor, mengucapkan kata-kata berunsur fitnah secara lisan dalam ceramahnya di Dewan Rukun Tetangga Seksyen 17 Shah Alam, pada 2013.

Beliau mendakwa video ucapan itu kemudiannya disunting dan dimuat naik ke laman media sosial YouTube yang boleh diakses orang ramai secara terbuka.
Khalid juga mendakwa perkataan yang diucapkan Hassan tidak berasas, tidak benar dan berunsur fitnah yang memberi kesan terhadap reputasi, imej dan nama baiknya, yang ketika itu AJK PAS Pusat.

Beliau mendakwa pernyataan fitnah itu bermaksud beliau seorang pemimpin anti Islam dan mengkhianati Islam dengan mempertahankan penjualan arak, kewujudan pusat judi dan rumah urut yang bertentangan dengan hukum Islam.

Sehubungan itu, Khalid menuntut ganti rugi am dan teruk, perintah injunksi bagi menghalang defendan atau wakilnya daripada mengulangi kata-kata itu, kos, faedah serta relif lain yang sesuai oleh mahkamah.
Hassan dalam pernyataan pembelaan, yang difailkan pada 27 Jun lepas, mendakwa perkataan diucapkan itu adalah satu fenomena umum dalam senario politik di Malaysia iaitu pihak mengkritik antara satu sama lain demi kepentingan politik masing-masing.

Menurutnya perkataan yang digunakan dengan merujuk Khalid sebagai ahli Parlimen Shah Alam merupakan satu komen berpatutan.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hue Siew Kheng menetapkan 24 Ogos depan bagi pengurusan kes itu selepas ia disebut di hadapannya hari ini, dengan dihadiri peguam Muhammad Faiz Fadzil mewakili Khalid dan peguam Elina Abdul Rashid bertindak bagi pihak Hassan

No comments:

Post a Comment