Friday, July 1, 2016

Mungkinkah kes Guan Eng menguntungkan pembangkang?

 FMT| July 1, 2016
Seorang penganalisis berkata, tangkapan itu menjadikan Guan Eng wira, manakala seorang lagi berpandangan masih terlalu awal berkata demikian.
Wong-Chin-HuatPETALING JAYA: Pendakwaan ke atas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mungkin menjadikan beliau wira di mata rakyat Malaysia yang tidak berpuas hati dengan kerajaan.
Penganalisis politik Wong Chin Huat berkata cara tangkapan itu dibuat mengundang kemarahan orang awam yang percaya kerajaan sudah melampau dalam usaha membungkam suara bangkangan.

“Beliau seorang ketua menteri yang sepatutnya diminta untuk tampil ke mahkamah, bukan mengarahkan anggota ke pejabatnya dan menahan semalaman.
“Kemudian, peguam negara sendiri mengetuai pendakwaan.
“Itu antara perkara yang mungkin mendorong orang awam percaya Guan Eng didakwa secara tidak adil,” kata felo Penang Institute itu kepada FMT.

Tangkapan itu, yang pembangkang anggap bermotifkan politik, mungkin berkesudahan sebaliknya buat Barisan Nasional (BN), kata Chin Huat.

Akibatnya, BN mungkin akan melihat lonjakan sokongan orang awam yang diterimanya dalam dua pilihan raya kecil baru-baru ini terayun ke pembangkang, tambahnya.

“Ramai mengkritik langkah itu, yang dilihat langkah sinis melemahkan kerajaan Pulau Pinang. Ia membuka mata mereka kepada bahaya daripada kerajaan Persekutuan, keangkuhan dan salahguna kuasa mereka.
“Walaupun ada yang tidak setuju dengan dasar-dasar yang dilaksanakan di Pulau Pinang, mereka bimbang langkah yang akan diambil kerajaan persekutuan seterusnya,” kata Chin Huat.

Ketua Kluster Politik, Keselamatan & Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara, Datuk Seri Prof Mohamed Mustafa Ishak, sebaliknya berpendapat terlalu awal untuk mencerap sentimen orang ramai, atau ke mana pengundi akan terayun.

Lagipun, katanya, pilihan raya umum akan datang hanya akan berlaku dalam dua tahun bukannya beberapa hari lagi.
“Orang awam perlu tengok kes ini secara rasional, biarkan proses undang-undang berlangsung dahulu. Apabila perbicaraan berlangsung, kita boleh tengok dan dengar apa yang sebenarnya berlaku.

“Rakyat boleh berfikir, mereka boleh menilai dan selepas mendengar hujah daripada pihak berkuasa dan Guan Eng berkenaan kes ini, mereka boleh membuat kesimpulan yang adil dan berpengetahuan.”
“Tapi pada ketika ini, saya tak rasa pengundi akan menyebelahi pembangkang semata-mata Guan Eng ditangkap.”

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP, dan bekas tuan rumahnya, Phang Li Koon, didakwa semalam atas dakwaan terbabit dalam perlingkungan semula tanah pertanian dan pembelian hartanah pada harga bawah nilai pasaran.
Mereka minta dibacarakan.

No comments:

Post a Comment