Kes mahkamah yang membabit Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng
mempunyai potensi untuk melonjakkan Peguam Negara Mohamad Tan Sri Apandi
Ali ke tahap lebih tinggi, menurut Datuk Zaid Ibrahim.
Bekas menteri di jabatan perdana menteri itu mengulas tindakan Apandi yang mengetuai enam timbalan pendakwaraya hari ini.
Zaid, yang hadir di mahkamah sesyen di Georgetown ketika Lim didakwa
dengan dua pertuduhan rasuah pagi ini, mendakwa Apandi muncul ceria
dengan senyuman sinis.
"Sudah tentu beliau yakin. Tiada AG akan kendalikan kes seperti ini,
yang sedang diperhatikan oleh orang ramai, kecuali beliau yakin boleh
mendapatkan keputusan bersalah.
"Bukan hanya orang ramai, tetapi bosnya (Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak) juga sedang merhatikan.
“Lagipun ini kes penting yang jika berjaya boleh melonjakkan kejayaan AG ke peringkat cemerlang," katanya menerusi Tweeter.
Bagaimanapun, Zaid berkata bahawa kes itu tidak sebegitu mudah seperti yang dijangkakan oleh AG.
Apandi dilantik tahun lalu selepas peguam negara terdahulu Tan Sri Abdul Gani Patail dilucutkan atas alasan kesihatan.
Walau bagaimanapun, para pengkritik mendakwa penyingkiran Abdul Gani
dikaitkan dengan pasukan petugas khas yang menyiasat isu berkaitan Najib
dan skandal 1MDB.
Kerajaan menafikan perkara tersebut.
Sementara itu, Zaid juga berhujah bahawa tidak ada sebab untuk Lim melepaskan jawatan ketua menteri.
Beliau berkata ini adalah kerana setiausaha agung DAP tidak mempunyai kuasa untuk mempengaruhi kes berkenaan.
"Beliau tidak mempunyai kuasa untuk memecat peguam negara,
mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menutup
fail atau menukar hakim (perbicaraan) ke Gua Musang," katanya.
Lim didakwa di bawah Seksyen 23 Akta Pencegahan Rasuah 2009 berkaitan
dakwaan pengezonan semula sebidang tanah daripada pertanian kepada
kegunaan komersial.
Beliau juga didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan berhubung
dakwaan pembelian sebuah unit banglo di Jalan Pinhorn di bawah nilai
pasaran.
Sementara itu, ahli perniagaan wanita Phang Li Khoon, yang menjual
banglo tersebut kepada Lim, pula didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun
Keseksaan (Akta 574) yang dibaca bersama Seksyen 165 kanun sama kerana
bersubahat dengan Guan Eng.
Berikutan itu, terdapat desakan dari pihak tertentu, khususnya parti
komponen BN supaya Lim meletakkan jawatan sebagai ketua menteri.
No comments:
Post a Comment