Wednesday, September 7, 2016

Akar umbi AMANAH dakwa PAS guna PKR runding kerusi


6/9/16
Ahli akar umbi Parti Amanah Negara (AMANAH) mendakwa PAS kini menggunakan PKR untuk membuat rundingan bagi pihaknya dalam menentukan kerusi untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum (PRU14).

Naib Ketua AMANAH Sepang, Abdul Halim Mohd Sharif berkata pihaknya selaku akar umbi yang membuat kerja bagi pihak parti itu kini bingung setelah mendapat maklumat tersebut.

“Kami mewakili ahli akar umbi AMANAH, mendapat maklumat bahawa sekarang ini sedang berlaku rundingan di antara PKR dan PAS dalam menentukan kedudukan kerusi-kerusi bagi PRU14 akan datang.

“Kami tidak peduli jika perbincangan ini hanya melibatkan kedua-dua parti tersebut. Tetapi sekarang ini, kami telah mendapat maklumat khususnya di Selangor, PAS dengan sengaja telah menghantar PKR untuk berunding dengan AMANAH bagi pihak PAS,” katanya.

Abdul Halim berkata, pihaknya tidak akan berdiam diri sekiranya perkara ini benar-benar berlaku kerana PKR dilihat telah membelakangkan perjanjian dalam Pakatan Harapan.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) sebentar tadi.

Sidang media itu turut dihadiri kira-kira sepuluh akar umbi AMANAH yang lain.
Mengulas lanjut, kata beliau, pihaknya turut memberi amaran kepada PAS supaya jangan sekali-kali mencampuri dan memperkudakan PKR dalam rundingan kerusi yang melibatkan parti-parti dalam Pakatan Harapan.

Pada masa yang sama, Abdul Halim turut menggesa supaya PKR menyatakan pendirian mereka sama ada mahu terus bersekongkol dengan PAS atau meninggalkan AMANAH bersama DAP dalam gabungan itu.
“Dan kami juga meminta ketegasan dari PKR untuk menyatakan pendirian dan ketetapan sama ada mahu terus bersekongkol bersama PAS atau tinggalkan kami Amanah bersama DAP dalam Pakatan Harapan,” tegasnya.

Sementara itu, beliau turut menyatakan sokongan kepada Pengerusi Amanah Selangor, Ir Izham Hashim yang ingin meletakkan calon AMANAH bertanding di 20 kerusi DUN di Selangor dalam PRU14.

Beliau turut menyeru seluruh pimpinan dalam Pakatan Harapan supaya memperkukuhkan parti dan mengetepikan sebarang bentuk agenda peribadi dan menolak eksploitasi pihak tertentu yang boleh merosakkan kekuatan gabungan itu.

No comments:

Post a Comment