Ti Lian Ker berkata, Nazri perlu mengenangkan sumbangan parti komponen BN.
PETALING
JAYA: Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Nazri Aziz diingatkan
tidak angkuh dan bertindak melampau dengan mengkritik parti komponen
Barisan Nasional tanpa mengenangkan sumbangan mereka sebelum ini, kata
jurucakap MCA, Ti Lian Ker.
“Nazri menjadi sombong seperti biasa. Beliau adalah aset dan
liabiliti kepada BN. Beliau tidak sempurna dan kini bertindak melampau.
“Beliau boleh menunjukkan keangkuhannya kerana menjadi menteri
sebagai hasil daripada asas kukuh (dibina) semua parti komponen BN.
Pencapaian BN adalah hasil usaha semua parti komponen diterajui Umno
hari ini,” kata Ti dalam satu kenyataan hari ini.
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu baru-baru ini mengkritik parti
komponen BN, iaitu MCA, MIC dan Gerakan tidak akan menjadi dominan
seperti Umno kerana tidak mampu memilih calon tempatan yang mampu menang
pada pilihan raya.
Nazri berkata, kelemahan terbesar parti komponen BN adalah mereka
bertegas menggunakan ‘calon payung terjun’ untuk bertanding menyebabkan
calon BN yang bukan penduduk tempatan ‘terpisah’ dengan pengundi
setempat.
“Itulah perbezaan antara Umno, MCA, MIC dan Gerakan. Pada pilihan
raya akan datang, mereka lebih suka memberi kerusi kepada pemegang
jawatan kerana keutamaan mereka adalah pemilihan parti, mereka mahu
pemimpin dipilih menjadi wakil rakyat,” kata Nazri.
Ti bagaimanapun menepis kenyataan Nazri dengan mempersoalkan pemimpin Umno itu jika beliau sedia berbuat demikian.
“Adakah beliau sedia bertanding tanpa logo BN? Bolehkah beliau
menjadi menteri jika tiada Barisan Nasional? Adakah beliau akan melompat
parti seperti Anwar atau Mahathir dengan membentuk atau menyertai parti
baharu untuk mencabar BN, jika beliau bukan seorang menteri?
“Sebagai kapten kapal, anda tidak menghiraukan usaha anak kapal atau
mempamerkan keangkuhan diri tanpa rasa malu atau rendah diri.
“Mujurlah, Nazri akan jadi dirinya, iaitu seorang pembantu yang baik
kepada kapten. Seorang kapten tidak akan melupakan anak kapalnya,
apabila kapal berlayar sebagai hasil daripada usaha semua orang. Beliau
akan ingat kepentingan kerja berpasukan dan prihatin terhadap kebajikan
anak kapalnya,” katanya.
Pengerusi biro keharmonian agama MCA itu berkata, Nazri boleh memilih
meninggalkan Umno dan menyertai DAP jika beliau tidak berpuas hati
dengan parti komponen BN.
“Beliau boleh keluar parti dan menyertai DAP yang dilihat lebih
selesa dengannya. Berbeza dengan kenyataan Nazri, jangan lupa kemenangan
BN adalah hasil (kerjasama) semua parti komponen.
“Hati Nazri seolah-olah lebih menjurus kepada DAP dan Lim Guan Eng
sejak kebelakangan ini. Beliau bercakap baik mengenai DAP dan kadangkala
saya tertanya-tanya sama ada beliau sedang ‘pikat’ DAP,” katanya.
No comments:
Post a Comment