Ahli akademik terkenal itu mempersoalkan cara pemain
bola sepak kebangsaan yang disifatkannya seperti robot "hantar bola pun
tak betul".
PETALING JAYA: Kualiti pemain bola sepak tempatan masih jauh
ketinggalan, kata Tan Sri Prof Khoo Kay Kim, yang membidas pihak
pengurusan gagal memberikan persediaan kepada pemain sehingga mereka
beraksi di padang seolah-olah mereka tidak menggunakan otak.
“Pemain kita main tak pakai otak, mereka main macam robot, hantar
bola tak betul, tendang tak betul, semua tak betul, macam mana mereka
boleh bermain untuk pasukan kebangsaan?” soal Khoo, sejarahwan negara
yang kerap dirujuk pendapatnya mengenai hal sukan dan sosio-ekonomi.
Beliau memberi contoh skuad negara bawah-22 (B-22) tewas 1-2 kepada
skuad B-22 Bahrain pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium
Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada Jumaat.
Semalam, prestasi bola sepak negara terus merudum selepas Harimau
Malaysia dikalahkan 3-0 oleh tuan rumah Indonesia pada perlawanan
persahabatan.
Khoo berkata pihak pengurusan dan jurulatih gagal menyediakan latihan sesuai dengan corak permainan terkini.
“Mereka tidak diberi latihan yang sesuai, bila kita pilih pemain kita
perlu mengkaji cara mereka bermain bukan seperti robot, selalu bagi
bola kepada penjaga gol.
“Bagaimana mereka nak capai keputusan baik kalau mereka selalu hantar bola kepada penjaga gol?” soal beliau.
Menurutnya, setiap pemainan perlu dijadikan sandaran bagi
meningkatkan kebolehan pemain, dan bukan sentiasa bermain dengan cara
yang sama.
“Sekarang saya tengok, mereka dilatih bermain cara sama, kalau pemain
A dapat bola mereka akan hantar kepada pemian B, itu bermakna mereka
tak guna orang (tidak kreatif bermain),” katanya.
Khoo turut membidas percakaran yang berlaku dalam Persatuan Bola
Sepak Malaysia (FAM), susulan penyerahan apa yang didakwa bukti
ketirisan badan itu oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan
Ibrahim, kepada Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.
Katanya, tugas utama FAM adalah memulihkan prestasi dan kualiti bola
sepak negara yang kian merudum melalui kerjasama dengan pelbagai pihak.
Katanya, FAM perlu memastikan bakat pemain digilap daripada peringkat sekolah.
“Bukannya setelah dewasa baru kita nak melatih mereka.”
PAUTAN
PAUTAN
No comments:
Post a Comment