Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah hari ini berkata, beliau akan
mengundi untuk menentang mana-mana rang undang-undang (RUU) yang
bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Pendirian sedemikian, ujar anggota Parlimen Gua Musang itu, adalah
selaras dengan sumpah beliau sebagai ahli Dewan Rakyat untuk melindungi
dan mempertahankan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
"Jika dibawa ke Parlimen, jika ia adalah sejajar dengan peruntukan
dan pelbagai artikel dalam Perlembagaan, maka saya akan menyokong.
"Tetapi jika bertentangan dengan mana-mana bahagian dalam
Perlembagaan atau tidak selaras dengan Perlembagaan, saya akan mengundi
menentangnya," jelas beliau semasa majlis pelancaran sebuah buku esei
mengenai Umno di Royal Lake Club di Kuala Lumpur.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan salah seorang peserta
majlis itu mengenai pendirian beliau dalam pengundian RUU kontroversi
oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang berkaitan pengukuhan
penguat kuasaan undang-undang syariah.
Ketika ditemui selepas itu, Tengku Razaleigh menambah, beliau tidak
mengetahui tentang rancangan BN untuk meminda Akta 355 atau Akta
Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah).
"Saya tidak tahu. Saya tidak tahu. Ini adalah kali pertama saya mendengarnya," kata beliau.
"Saya tidak tahu," akuinya apabila dimaklumkan Menteri di Jabatan
Perdana Menteri yang bertanggungjawab bagi hal ehwal Islam, Datuk Seri
Jamil Khir Baharom berkata, kerajaan sedang berusaha untuk membuat
semakan sendiri ke atas akta tersebut.
No comments:
Post a Comment