Thursday, November 3, 2016

Adun BN yakin gabungan PAS dengan parti lain tidak berjaya

 FMT| November 3, 2016
BN menjangkakan perebutan kerusi menjelang PRU14 sekiranya semua parti pembangkang bergabung.
Datuk-Sulaiman-Abdul-Razak
SHAH ALAM: Pimpinan Barisan Nasional (BN) Selangor yakin PAS tidak berpeluang mewujudkan pertembungan 1 lawan 1 dengannya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang-BN, Datuk Sulaiman Abdul Razak berkata perebutan kerusi tentunya akan berlaku di kalangan parti pembangkang sekiranya mereka bergabung.

“Idea 1 lawan 1 ini pastinya tidak boleh dilakukan kerana di setiap kerusi PAS ada Parti Amanah Negara (Amanah) yang akan bertanding. Begitu juga Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). Ia nak bertanding kerusi yang mana? Nak ambil kerusi siapa? Nak ambil kerusi PAS, PKR atau DAP?

“(PPBM) sebagai parti yang dipimpini (bekas perdana menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad tentunya memerlukan sekurang-kurangnya 80 kerusi. Semua kerusi Umno (PPBM) kena lawan. Siapa nak beri laluan padanya? Saya jangkakan wujud perebutan kerusi,” katanya kepada FMT di lobi Dewan Undangan Negeri Selangor.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan PPBM yang mengesahkan menerima jemputan untuk mengadakan perbincangan dengan PAS dan Pakatan Harapan dalam masa terdekat.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pertemuan itu adalah permulaan baik untuk PPBM memulakan rundingan dengan parti pembangkang lain mengenai bentuk kerjasama menjelang PRU14.

Pada masa sama, Sulaiman melihat PPBM sebagai parti yang masih lemah dan perlu mencari “pelindung” dengan kerjasama dengan parti pembangkang lain.
Beliau juga mempersoalkan sama ada ahli-ahli PPBM yang kebanyakannya bekas pemimpin Umno boleh menerima dasar parti lain sekiranya bersatu dengan pembangkang.

“PPBM nak kerjasama dengan parti lain, itu haknya. Sama ada diterima atau tidak, itu atas perbincangan mereka. Apa yang kita lihat, PPBM parti yang lemah dan memerlukan orang (parti) yang kuat. Semestinya ia perlukan perlindungan.
“Sejauh mana PPBM sanggup terima dasar parti yang lain kalau nak bersatu (dengan pembangkang). Boleh ke (PPBM) terima?” katanya.

No comments:

Post a Comment