Tuesday, November 29, 2016

Fikir dulu, Khalid persoal penjara 30 tahun RUU 355

 | November 29, 2016
Ahli Parlimen Amanah menggesa RUU 355 diperhalusi terlebih dahulu sebelum ia diluluskan bagi mengelakkan ia menjadi fitnah terhadap Islam.
Khalid-Samad_pas_law_600
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Amanah menggesa PAS berfikir dengan lebih teliti berhubung rang undang-undang (RUU) persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 yang dibentangkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 24 November.

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad mempertikaikan hukuman “ketat” PAS terhadap pesalah syariah dengan hukuman maksimum termasuk 30 tahun penjara, denda RM100,000 dan 100 sebatan rotan.

“Persoalannya, adakah kita nak penjarakan pesalah syariah sama seperti dilakukan kepada penjenayah tegar? Fikirlah dulu. Namun, sekurang-kurangnya ia ada had tetapi kami perlu berbincang untuk memperhalusinya lagi,” katanya.
“Sekurang-kurangnya sekarang orang tidak akan bertanya sama ada mereka akan dipotong tangan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Raja Dr Siti Mariah Mahmud mempersoalkan mengapa PAS lebih cenderung memberi penerangan kepada rakyat dan bukannya ahli Parlimen mengenai cadangan pindaan RUU itu.

Mariah menegaskan ahli Parlimen adalah pihak yang akan mengundi untuk meluluskan RUU apabila ia dikemukakan di Parlimen dan bukannya orang ramai.
“Ini adalah sebab mengapa sebahagian daripada kita percaya RUU ini lebih mementingkan politik berbanding usaha memartabatkan Islam,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Amanah Negara, di sini hari ini.

Membidas kata-kata yang mengatakan hukuman itu hanyalah tahap maksimum, Mariah berkata punca kebimbangan adalah hakikat yang Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah bebas antara satu sama lain.

“Ada yang mengatakan itu hanya hukuman maksimumnya sahaja tapi saya ingatkan DUN adalah bebas daripada yang lain. Akan ada satu masa nanti hukumannya berbeza. Kenapa tidak diselaraskan dahulu? Ini akan menimbulkan fitnah terhadap Islam yang perlu kita pastikan agar hukuman diselaraskan sebelum diluluskan,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan PAS merancang mengadakan perhimpunan tahun depan bagi menunjukkan sokongan besar-besaran terhadap rang undang-undang parti itu untuk memperluaskan kuasa Mahkamah Syariah.
FMT

No comments:

Post a Comment