Saturday, November 26, 2016

Jamal mungkin desak pekerja Myanmar dihalau keluar

Malaysiakini 25/11/16

Pemimpin akar umbi kontroversi Umno, Datuk Seri Jamal Md Yunos memberi amaran untuk mendesak pekerja Myanmar agar dihalau keluar dari negara ini jika etnik Islam Rohingya terus ditindas.

Selepas menyerahkan memorandum kepada kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur petang ini, Jamal berkata, umat Islam di Malaysia tidak sanggup lagi melihat saudara seagamanya diancam.

“Kita tidak sanggup lagi saudara seIslam kita disembelih, dibunuh, dirogol, dipukul, dibakar hidup-hidup dan anak-anak dibunuh tanpa peri kemanusiaan.
“Dan kalau ini tidak berlaku (tidak berubah), kita akan mendesak rakyat, kerajaan Malaysia untuk halau semua rakyat Myanmar yang sedang mencari makan di negara ini, pulang ke negara mereka,” katanya dalam video KiniTV.

Jamal antara ribuan rakyat Malaysia dan etnik Rohingya yang berdemonstrasi di hadapan kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur selepas solat Jumaat hari ini.
Mengulas kehadiran hari ini, Jamal berkata, perkara itu tidak mustahak berbanding mesej yang hendak disampaikan.

“Yang mustahaknya, inilah suara rakyat Malaysia bersama saudara-saudara kita yang tertindas ini,” kata pemimpin Baju Merah yang ditubuhkan sebagai reaksi balas terhadap BERSIH.
“Kita sudah hantar memorandum kepada kedutaan Myanmar dan saya hendak ulangi, kerajaan Malaysia perlu bertindak berani, tegas terhadap isu ini.”

No comments:

Post a Comment