Friday, December 30, 2016

Kes Adnan tentukan jika Najib boleh teruskan saman fitnah

FMT | December 30, 2016
Peguam perdana menteri berkata anak guamnya adalah 'pendakwa yang serius' dan bersedia memberi keterangan untuk membuktikan pengkritiknya salah.
najib-razak-adnan-yaakobPETALING JAYA: Lima saman fitnah difailkan Datuk Seri Najib Razak terhadap lawannya akan ditentukan tahun depan sama ada perdana menteri, sebagai pegawai awam, mempunyai kapasiti undang-undang mendapatkan remedi.

Bagaimanapun, ini hanya boleh ditentukan selepas Mahkamah Persekutuan mendengar rayuan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, yang samannya terhadap Utusan Melayu (M) Berhad dibatalkan kerana tindakan itu difailkan atas sifat rasminya.

Ini berlaku selepas mahkamah menerima pakai keputusan prinsip undang-undang dalam kes Derbyshire County lawan Times Newspapers Ltd pada 1993.
Dalam kes itu, mahkamah memutuskan pihak berkuasa tempatan tidak boleh mengambil tindakan undang-undang berdasarkan kritikan awam.

Mahkamah tertinggi menetapkan 13 Feb ini untuk mendengar rayuan Adnan.
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menjadi “mangsa” pertama apabila Mahkamah Rayuan pada 20 Dis menolak saman terhadap 2 kumpulan media dikaitkan dengan Umno dan 3 yang lain pada bantahan awal.
Mahkamah Tinggi tahun lalu menganugerahkan Lim RM550,000 sebagai ganti rugi kerana melabel beliau sebagai “perisik Singapura”.

Minggu lalu, Mahkamah Tinggi menangguhkan keputusannya hingga 23 Mac sama ada untuk membatalkan saman Najib terhadap bekas menteri Tun Ling Liong Sik, yang mendakwa perdana menteri “mengambil wang rakyat” berhubung isu sumbangan RM2.6 bilion.

Hakim Datuk Nor Bee Ariffin mahu menunggu keputusan akhir keputusan Mahkamah Persekutuan dalam rayuan Adnan kerana keputusan mahkamah tertinggi itu akan mengikat Mahkamah Tinggi.

Kes lain yang belum selesai di Mahkamah Tinggi adalah saman Najib terhadap Ahli Parlimen Petaling Jaya Tony Pua dan pemilik Mediarakyat.net Chan Chee Kong atas komen yang dibuat ahli Parlimen itu pada majlis makan malam mengumpul dana DAP, yang kemudiannya dimuat naik ke laman web berkenaan.

Perdana menteri mendakwa ucapan Pua bermakna beliau merompak wang rakyat dengan mengambil kira transaksi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan beliau tidak boleh dipercayai dan didakwa tidak layak memegang jawatan awam.

Pua kini mahu membatalkan saman Najib kerana perdana menteri tidak boleh menyaman beliau atas sifatnya sebagai pegawai awam.
Najib dan isterinya, Datin Sri Rosmah Mansor, memfailkan saman terhadap Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dan Chan (pemilik Mediarakyat.net) kerana didakwa memfitnah mereka berhubung penghapusan subsidi minyak.
Pasangan itu mendakwa kenyataan ahli Parlimen Pandan secara tersirat menyatakan Najib menyalahi undang-undang mencuri wang rakyat berkaitan penghapusan subsidi minyak.

Najib juga menyaman Pengarah Urusan Harakah Rosli Yaakob dan Ketua Pengarang Harakahdaily Taufek Yahya berhubung artikel disiarkan dalam lidah rasmi PAS, Harakahdaily, berhubung 1MDB dan Riza Aziz, anak tirinya.
Pada 2014, Najib mencipta sejarah dengan menjadi perdana menteri pertama di negara ini menyaman sebuah organisasi media, Malaysiakini, kerana memfitnah.
Bagaimanapun, ia kerana membenarkan komen berunsur fitnah oleh pembaca, yang disiarkan di laman webnya.

Dalam semua kes, Najib dan defendan, sejak 2 tahun lalu, memfailkan pelbagai permohonan interlokutori dan ini menyebabkan saman fitnah belum didengar.
Peguam Najib, Mohd Hafarizam Harun berkata anak guamnya mahu mempertahankan reputasinya selepas didakwa memfitnah.
“Najib adalah ‘pendakwa yang serius’ dan bersedia untuk memberi keterangan di mahkamah,” kata beliau kepada pemberita.

No comments:

Post a Comment