Sunday, January 1, 2017

Jangan main golf di luar negara, kata SPRM

 | January 1, 2017
Ketua pesuruhjaya SPRM berkata penjawat awam bukan pemain golf profesional, malah tindakan mereka itu akan cenderung kepada gejala rasuah dan salah guna kuasa.
sprm-golf
PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengingatkan penjawat awam peringkat pengurusan tertinggi di seluruh negara supaya berhenti bermain golf di luar negara.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad berkata mereka tidak perlu ke luar negara untuk bermain sukan itu kerana di dalam negara sendiri ada banyak padang golf lengkap dengan prasarana.

“Saya ingin menasihatkan golongan penjawat awam supaya menghentikan serta merta aktiviti mereka dan tidak perlulah keluar negara untuk bermain golf khususnya di Indonesia dan Thailand.
“Di Malaysia ada begitu banyak padang golf yang serba indah dan lengkap dengan prasarananya.

“Lebih baik bagi mereka memakmurkan saja padang golf tempatan sambil membantu menjana hasil pendapatan pengusaha padang golf di negara ini,” katanya dalam wawancara bersama akhbar Mingguan Malaysia.
Dzulkifli dipetik sebagai berkata mereka yang pergi ke luar negara untuk bermain golf bukannya pemain profesional pun, malah tindakan itu akan cenderung kepada gejala rasuah dan salah guna kuasa.

“SPRM melakukan pemantauan dan memperoleh maklumat mengenai pergerakan dan aktiviti yang dilakukan segolongan penjawat awam.
“Walaupun kadangkala individu terbabit menunjukkan perjalanan mereka dibiayai hasil pendapatan sendiri, namun sebaik saja tiba di sana, mereka akan disambut golongan tertentu,” katanya.

Katanya, perbelanjaan itu termasuk untuk membeli-belah sewaktu berada di luar negara.

No comments:

Post a Comment