Friday, February 17, 2017

Isteri ke-2 Jong-nam minta bantuan China tuntut mayat


 FMT| February 16, 2017
Pihak polis menegaskan mayat hanya akan diserahkan kepada waris yang sah selepas selesai bedah siasat.
kim-jong-nam-china2
KUALA LUMPUR: Maklumat baru yang diterima, isteri ke-2 Kim Jong-nam, abang sebapa pemimpin Korea Utara Kim Jong Un, meminta bantuan kerajaan China menuntut untuk mayat suaminya, kata seorang pegawai kerajaan.
Sumber itu berkata, permintaan itu dibuat melalui Kedutaan China di sini.
Tiada maklumat lanjut diperoleh kecuali mayat berkenaan tidak akan dilepaskan sehingga pihak berkuasa menerima laporan penuh bedah siasat.
Laporan dijangka keluar dalam masa seminggu.

Jong-nam, 46, adalah anak sulung pemimpin Korea Utara Kim Jong Il.
Jong-nam menjadikan Macau kediamannya sejak sekian lama sebagaimana dilaporkan di mana isteri ke-2 dan anaknya berada.
Bagaimanapun, mendiang juga selalu ke Beijing menemui isteri pertama dan anaknya yang tinggal di sana.

Jong-nam memasuki Malaysia pada 6 Februari, mendapatkan bantuan perubatan di kaunter perkhidmatan Kuala Lumpur Interational Airport 2 (klia2) pada 13 Februari, beberapa jam sebelum penerbangan ke Macau.
Beliau meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital.
Bedah siasat dijalankan di Hospital Kuala Lumpur bagi menentukan punca kematian.

Korea Utara sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kematian meminta mayat berkenaan diserahkan tanpa bedah siasat. Bagaimanapun, permintaan itu ditolak.
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim memberitahu FMT semalam, mayat hanya akan diserahkan kepada pihak yang sah selepas semua prosedur bedah siasat dijalankan.

“Kejadian itu berlaku di sini dan kami perlu menjalankan siasatan terperinci dan bedah siasat itu sebahagian daripada prosedur.”
Beliau berkata anggota keluarga terdekat si mati adalah pihak yang sah untuk menuntut mayat.

Siasatan awal mendapati Jong-nam disembur cecair beracun dan mukanya ditekup kain oleh 2 wanita sebelum kematiannya.
Berikutan kejadian itu, polis Malaysia menahan 3 suspek berkaitan kes itu.
Dua daripada mereka, seorang wanita berusia 28 dengan dokumen perjalanan Vietnam dan seorang wanita berusia 25 dari Indonesia, yang dikenalpasti melalui rakaman kamera litar tertutup.

Mereka ditangkap dan ditahan reman selama seminggu bagi mendapatkan keterangan ke atas penyiasatan.
Kedua-duanya berseorangan semasa ditahan pihak polis.
Warga Vietnam ditahan di klia2 ketika menunggu penerbangan ke Vietnam semalam manakala seorang lagi wanita, warga Indonesia ditahan di lokasi tidak didedahkan pada jam 2 pagi hari ini.

Sementara itu, polis mengeluarkan kenyataan berkenaan individu ke-3 yang merupakan teman lelaki kepada suspek wanita ke-2.
Muhammad Farid Jalaluddin, 26, ditahan di Ampang semalam dan kini dalam tahanan polis.

Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat berkata, polis masih menyiasat sama ada lelaki berkenaan mempunyai kaitan dengan kes itu.
Sementara itu, polis mengetatkan tahap keselamatan di bilik mayat Hospital Kuala Lumpur di mana mayat Jong-nam disimpan.
Media asing dan penduduk tempatan berkhemah di depan rumah mayat sejak semalam selepas berita kematian Jong-nam tersebar.

No comments:

Post a Comment