Malaysiakini 17/3/17
Pakatan Harapan perlu menyegerakan rundingan dengan Parti Pribumi
Bersatu Malaysia (BERSATU) dan semua “pihak lain yang sealiran”, kata
Anwar Ibrahim.
Ini demi memantapkan agenda reformasi dan dasar bersama, kata tokoh pembangkang itu.
“Kesudian BERSATU untuk menyertai HARAPAN harus dilihat secara
positif kerana ia akan mengukuhkan kekuatan pembangkang dalam persediaan
menggantikan BN sebagai kerajaan melalui pilihan raya umum akan
datang,” katanya.
Pengerusi BERSATU Tun Dr Mahathir Mohamad pada 13 Mac lalu mengumumkan akan membuat permohonan rasmi menyertai HARAPAN.
Bekas perdana menteri itu juga mencadangkan nama HARAPAN ditukar
serta satu lambang diperkenal bagi menghadapi pilihan raya umum akan
datang.
Dalam kenyataan dari penjara Sungai Buloh, Anwar berkata pembangkang
hanya memerlukan sedikit lonjakan sokongan untuk menukar kerajaan dalam
pilihan raya umum akan datang.
“Saya yakin, Insha-Allah, ini akan dapat dicapai memandangkan masalah
ekonomi dan skandal berlarutan dalam negara yang belum pernah dialami
sebelum ini,” katanya.
Beliau membangkitkan pelbagai kontroversi melanda negara, termasuk
isu 1MDB, Felda, Tabung Haji dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) – yang
dianggapnya sebagai “pengkhianatan” kepada bangsa dan negara.
No comments:
Post a Comment