Thursday, March 23, 2017

Dewan baharu tetapi pemikiran Speaker jauh ke belakang

Dewan Rakyat
PADA tahun 2010, saya adalah di antara ahli parlimen yang menganggotai panel jawatankuasa yang diberikan tanggungjawab oleh Parlimen untuk membuat semakan dan kajian mengenai gaji serta elaun ahli-ahli parlimen termasuk Speaker Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Memang tidak dinafikan bahawa skim gaji dan elaun Parlimen Malaysia adalah relatif rendah jika dibandingkan dengan negara-negara Asia seperti Singapura, Thailand, Indonesia, Filipina, hatta Bangladesh.

Sekarang ini bermula tahun 2014, ahli-ahli parlimen dan Speaker kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara telah menikmati gaji serta elaun yang mencukupi serta memuaskan. Saya diberitahu, Speaker membawa pulang lebih kurang RM30,000 sebulan.

Pada hemat saya, kenaikan gaji dan elaun ahli-ahli parlimen ini adalah suatu yang wajar. Sebagai bekas wakil rakyat, saya dapat memahami betapa besar dan beratnya beban tergalas di bahu mereka yang bekerja tiada had masa serta ketika.
Namun, jangan lupa perkara yang lebih besar dan penting daripada gaji serta elaun ini ialah kedudukan Institusi Parlimen mesti mencapai KPI dan Integriti yang boleh dibanggakan.

Perkara ini mesti berjalan seiring dengan harapan Parlimen kita suatu hari nanti upaya sebaris dengan 'House Of Commons' dan wibawa  Parlimen di negara-negara Kesatuan Eropah serta Komanwel.
Kedudukan Speaker bukan hanya sekadar mempengerusikan sidang.

Tetapi mesti juga mampu menjadi pemimpin perubahan, bersedia melakukan perubahan dan pencetus idea besar bagi memacu ke hadapan Institusi Parlimen Malaysia. Kebebasan Parlimen daripada campur tangan eksekutif yang melampau masih menjadi isu yang perlu ada keberanian. Justeru untuk tujuan itu, Speakerlah orang yang paling layak mempeloporinya.

Amat malang, hari ini mendengar berita daripada Parlimen  kita. Isu besar negara dan dunia seperti 1MDB, M01  tidak diizinkan bahas oleh Speaker atas alasan subjudis.
Paling terkini, pengamal media tidak dibenarkan berada di lobi Parlimen untuk membuat liputan persidangan dewan. Sedangkan di negara-negara lain, perbahasan Sidang Parlimen disiarkan secara langsung. Betapa jauhnya Parlimen kita melangkah ke belakang.

Sekiranya kita berada di bangunan Parlimen hari ini, kita dapat menyaksikan betapa hebat dan mewahnya Dewan Persidangan setelah diubah suai dengan kos ratusan juta ringgit.
Sayangnya, kita memiliki Speaker yang gagal mempamerkan  pemikiran, wawasan dan

perubahan yang mampu mengangkat nilai serta integriti Parlimen negara ini.
Parlimen Malaysia memerlukan Speaker yang baru  dalam nuansa kerajaan baharu dalam waktu yang tidak berbatu jauhnya.
 
SALAHUDDIN AYUB
 
Timbalan Presiden
Parti Amanah Negara (Amanah)
22 Mac 2017

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment