Friday, March 10, 2017

Mungkin ramai pemimpin PKR tidak dapat tanding PRU14

Mungkin ramai pemimpin PKR tidak dapat tanding PRU14
SHAH ALAM - Beberapa pemimpin PKR dikhuatiri tidak dapat bertanding PRU14 akan datang selepas kebanyakan daripada mereka  dihadapkan ke mahkamah atas pelbagai dakwaan.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, terdapat lebih 20 orang pimpinan PKR yang hampir kesemua mereka dituduh di bawah Akta Hasutan atau Akta Perhimpunan Aman.

Katanya, daripada jumlah ini, 11 merupakan ahli Parlimen ataupun Adun."Ini bermakna, sekiranya mereka didapati bersalah dan dihukum denda lebih RM2,000 atau dipenjara lebih setahun maka ada kemungkinan ramai pimpinan PKR akan hilang kelayakan untuk bertanding dalam PRU14.
"Ini bukanlah perkembangan yang baik buat demokrasi di Malaysia, lebih-lebih lagi di kala negara dibelenggu pelbagai krisis kewangan, tata kelola, rasuah, politik dan kepimpinan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kes Ahli Parlimen Batu, Tian Chua yang didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya selepas didapati bersalah mengeluarkan perkataan kesat dan boleh mengaibkan seorang pegawai polis, tiga tahun lalu.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani tambahan hukuman penjara tiga bulan, sekiranya gagal membayar denda.
Naib Presiden PKR itu bagaimanapun membayar denda berkenaan.
Tambah Saifuddin, walaupun hukuman ini tidak menjejaskan status Tian Chua sebagai Ahli Parlimen Batu selagi proses rayuan belum selesai, namun ia mungkin menghilangkan kelayakan beliau untuk bertanding PRU14 kelak.

[ARTIKEL BERKAITAN: Tian Chua kekal ahli parlimen]
"Saya bagi pihak pimpinan PKR menegaskan, usaha untuk mematahkan semangat kami tidak akan berjaya.
"Malah PKR terus istiqamah dalam perjuangan reformasi dan membawa perubahan demi Malaysia yang lebih baik.

No comments:

Post a Comment