Thursday, March 9, 2017

Sistem bayaran elektronik sepenuhnya April ini

Sinar Harian
Sistem bayaran elektronik sepenuhnya April ini
Tol
SHAH ALAM -  Kesemua transaksi tol di 71 buah plaza tol  Lebuhraya Utara Selatan akan melaksanakan sistem bayaran elektronik secara keseluruhan mulai 26 April ini .

Pengarah Urusan Plus Malaysia Berhad (Plus), Datuk Azman Ismail turut mengesahkan perkara ini melalui laman web Plus.
"Bermula pada 26 April yang akan datang, tiada lagi transaksi secara tunai akan dikendalikan dan pengguna lebuh raya Plus perlu membayar tol menggunakan kad PLUSMiles, kad Touch 'n Go ataupun SmartTAG.

"Pelaksaan ini termasuklah transaksi tol di Jambatan Pulau Pinang, Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya Persekutuan Laluan 2 (FHR2), Lebuhraya Seremban-Port Dickson dan Lebuhraya Linkedua," katanya.

Sebelum ini, inisiatif yang sama telah berjaya dilaksanakan di semua plaza tol kendalian Plus di Bangunan Sultan Iskandar (2008), Lebuhraya Linkedua (secara berperingkat sejak 2009), Plaza Tol Kempas (2014), Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau (November 2014), Plaza Tol Mambau dan Lukut di Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) pada Jun 2015.

Serta di Plaza Tol Bukit Kayu Hitam dan Jitra (September 2015), Plaza Tol Lunas dan Kubang Semang di Lebuhraya Butterworth-Kulim (September 2015), plaza tol di Jambatan Pulau Pinang (September 2015) serta Plaza Tol Sungai Dua hingga Hutan Kampung di Lebuhraya Utara-Selatan (November 2016).

Azman menjelaskan pelaksanaan ini dilakukan untuk membantu pengguna mendapat perjalanan yang lebih mudah, pantas dan selesa.
"Transaksi tol secara elektronik adalah jauh lebih pantas dan selesa berbanding pembayaran tol secara tunai di mana lorong SmartTAG dan Touch 'n Go mampu mengendalikan kira-kira 1,000 dan 600 transaksi tol satu jam.

"Manakala Lorong Tunai Keluar pula hanya mampu mengendalikan kira-kira 180 transaksi dalam tempoh yang sama," katanya lagi.
Justeru, beliau menasihatkan agar orang ramai mula mendapatkan kad elektronik masing-masing segera.

"Kami menasihatkan orang ramai, khususnya yang melalui 71 plaza tol di antara Juru dan Skudai supaya mendapatkan kad elektronik masing-masing," tambahnya lagi.

No comments:

Post a Comment