ADABI Consumer Industries Sdn Bhd Malaysia (Adabi) sekali lagi menafikan Sos Tiram Adabi adalah keluaran syarikat itu.
Presidennya, Adrian Roslan berkata, sebelum ini lagi perkara ini timbul
apabila ramai pengguna keliru dengan produk sos tiram Adabi.
Ini kerana, ‘Sos Tiram Adabi’ dengan label berwarna hijau, lengkap dengan logo dan tulisan yang sama dengan Adabi.
“Perkara ini sudah lama berlaku, sejak tahun 2000 lagi. Sejak itu, kami
sering membuat penjelasan kepada pengguna, ia bukan keluaran Adabi.
“Pada masa sama, kami juga ada bertemu syarikat berkenaan supaya mereka
menghentikan daripada terus menggunakan nama dan logo Adabi untuk
produk sos tiram tersebut.
“Tetapi ia tidak diendahkan. Kes ini sudah pun jadi kes mahkamah. Tahun
lalu, kami sudah kemukakan kepada pihak mahkamah supaya syarikat
berkenaan menarik semula nama dan logo, namun kes ini masih lagi
berjalan,” katanya kepada Sinar Harian Online.
Baru-baru ini tersebar tular mengenai Sos Tiram Adabi dengan label
berwarna hijau menjadi kekeliruan pengguna apabila di belakang labelnya
tertera nama syarikat lain. Tidak hanya nama malah, label ini turut
disertakan dengan logo Adabi.
Ia terus menjadi tanda tanya apabila Adabi pada masa sama turut
mengeluarkan jenama lain iaitu Sos Makanan Laut yang fungsinya juga sama
dengan sos tiram.
Adrian ketika diminta mengulas perkara ini berkata, kerana prosiding
mahkamah yang terus berjalan, Adabi mengambil keputusan untuk
mengeluarkan satu lagi jenama makanan iaitu Sos Makanan Laut (Seafood
Sauce) pada tahun lalu.
“Ya, memang kami keluarkan sos makanan laut itu. Kita tidak mahu
pengguna semakin keliru dengan produk-produk kami, kerana itu pendekatan
ini kami ambil.
“Penjualan juga semakin memberangsangkan. Pengguna sudah tahu
membezakan yang mana produk asli keluaran Adabi. Mereka juga boleh
melihat di belakang label botol di mana tertera nama syarikat yang
mengeluarkan sesuatu produk,” katanya.
Jelasnya, biarpun masih menunggu proses mahkamah berlangsung, Adabi
turut menjalankan kempen-kempen untuk terus memberitahu pengguna
mengenai produk-produk keluaran Adabi.
“Produk Adabi yang tulen akan disertakan dengan tagline kami iaitu
‘Bersih dan Asli’. Jadi kepada pengguna yang biasa dengan produk-produk
kami, mereka sudah tahu.
“Inilah kelainan kami. Kami sedar, jenama Adabi sememangnya dipercayai
ramai sejak dahulu lagi. Jadi kami akan terus memastikan kesemua produk
kami bermutu tinggi dan asli,” katanya.
Tambahnya, Adabi akan terus memberi penjelasan kepada pengguna mengenai perkara ini.
“Kami tidak mahu pengguna keliru. Kami mahukan yang terbaik buat
pengguna kami dan berharap perkara ini akan dapat diselesaikan dengan
cepat.
“Selain media, kami juga sentiasa berkomunikasi bersama pengguna di
laman-laman sosial supaya setiap pertanyaan akan dapat maklum balas
segera,” katanya
No comments:
Post a Comment