Friday, April 14, 2017

Dana 1MDB: Nasharudin 'kunci mulut'

Sinar Harian
Nasharudin Mat Isa
Nasharudin Mat Isa
SHAH ALAM - Bekas Timbalan Presiden Pas, Datuk Dr Nasharudin Mat Isa tidak memberi sebarang maklum balas berhubung dakwaan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang mengaitkan beliau dengan isu penerimaan dana 1MDB daripada akaun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Usaha Sinar Harian untuk menghubungi Nasharudin beberapa kali juga gagal.
Beliau yang kini memegang jawatan Pengerusi Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) juga tidak menjawab panggilan telefon ataupun membalas khidmat pesanan WhatsApp.

Cubaan untuk mendapatkan Nasharudin melalui GMM juga tidak berhasil apabila NGO itu menjelaskan isu Rafizi tiada kaitan dengan GMM.
Sebelum ini, Rafizi menerusi sidang media di Ibu Pejabat Invoke, hari ini berkata, pendedahan itu dibuat setelah seminggu beliau mendakwa ada wang dari akaun peribadi Najib mengalir kepada tokoh yang rapat dengan pimpinan Pas.

Nasharudin yang juga bekas pensyarah Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) dam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan beliau mula mendapat perhatian dalam Pas selepas dipilih sebagai setiausaha agung parti pada 1999 oleh presiden ketika itu, Allahyarham Datuk Fadzil Noor.

Pada 2005, Nasharudin menewaskan veteran Pas, Hassan Shukri untuk jawatan timbalan presiden.
Namun, beliau gagal mempertahankan jawatan itu setelah tewas kepada Mohamad Sabu dalam Muktamar Agung Pas 2011.

Kekalahan Nasharudin dikaitkan dengan penglibatannya dalam siri 'rundingan sulit' menubuhkan kerajaan perpaduan bersama Umno sehingga menimbulkan kemarahan Mursyidul Am Pas ketika itu, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Selepas tersingkir daripada pimpinan tertinggi, Nasharudin dilihat mesra dengan Umno, malah pernah menyertai rombongan Najib untuk bertemu tokoh ulama Arab Saudi.

Ketika bersama Pas, Nasharudin telah mewakili Pas di Dewan Rakyat sebanyak dua kali iaitu sebagai ahli Parlimen Yan, Kedah (1999-2004) dan Bachok, Kelantan (2008-2013).
Dua tahun lalu, beliau dilantik mengetuai GMM menggantikan Datuk Saifuddin Abdullah yang kini menyertai PKR.

No comments:

Post a Comment