Saturday, May 6, 2017

Bandar Malaysia: Apa yang perlu anda tahu

 FMT| May 6, 2017
Masa depan pembangunan terbesar dalam sejarah Kuala Lumpur kini menjadi tanda tanya selepas syarikat usahasama melibatkan China dituduh gagal menyelesaikan bayaran untuk pemilikan saham dalam projek itu.
bandar-malaysia
PETALING JAYA: Isu Bandar Malaysia kembali hangat, selepas perjanjian jualan saham antara kerajaan dan sebuah syarikat usahasama Johor-China terbatal minggu ini.

Sebelum ini, Bandar Malaysia berada di tengah-tengah kontroversi pembelian sekeping tanah oleh Lembaga Tabung Haji dengan harga jauh lebih mahal daripada harga asal yang ditawarkan kepada 1Malaysia Development Berhad, syarikat milik Kementerian Kewangan yang dipertanggungjawab projek mega itu.

Bandar Malaysia adalah projek pembangunan di Kuala Lumpur, seluas 197 hektar, yang akan dimajukan di lapangan terbang lama Pangkalan Udara Kuala Lumpur (PUKL) di Sungai Besi, 7km dari pusat bandar raya.
Kerajaan sebelum ini berkata projek yang dijangka mengambil masa antara 15 dan 25 tahun akan membuka 220,000 peluang pekerjaan.

Pembangunan fasa pertama Bandar Malaysia yang sepatutnya berjalan tahun ini akan mengambil masa 5-10 tahun. Ia merangkumi kira-kira 40 hektar membabitkan pembangunan 5,000 unit rumah mampu milik serta kemudahan sistem rel Transit Aliran Ringan (LRT) dan Mass Rapid Transit (MRT), di samping menempatkan stesen utama sistem kereta api laju Kuala Lumpur-Singapura.
Bandar Malaysia dibangunkan pemaju induknya, TRX City Sdn Bhd.
TRX City dimiliki penuh Kementerian Kewangan. Sebelum ini ia dikenali sebagai 1MDB Real Estate Sdn Bhd, anak syarikat 1MDB.

1MDB yang dibeban hutang berjumlah RM42 bilion membuat keputusan melupuskan 60% ekuiti dalam projek Bandar Malaysia.
Pada 28 Ogos 2015, Presiden Kumpulan 1MDB, Arul Kanda Kandasamy mengumumkan sebanyak 12 syarikat yang berminat membida untuk mengambil bahagian sebagai rakan kongsi pembangunan projek Bandar Malaysia.

Penglibatan China
Hujung tahun yang sama, Arul mengumumkan penjualan 60% ekuiti Bandar Malaysia kepada Konsortium Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH) dan China Railway Engineering Corporation (M) Sdn Bhd (CREC).
Ketika itu, usaha itu dialu-alukan sebagai langkah mengurangkan beban hutang 1MDB.

CREC adalah syarikat milik kerajaan (GLC) China dan yang terbesar dalam sektor kejuruteraan dan pembinaan dunia.
IWH adalah usaha sama Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) milik kerajaan Johor dan Tan Sri Lim Kang Hoo menerusi syarikat Credence Resources Sdn Bhd, dan menguasai 47.16% Iskandar Waterfront City Bhd.
Bagaimanapun, kerajaan Malaysia kekal memiliki majoriti kepentingan dalam Bandar Malaysia (54.4%), manakala CREC 24% dan Credence Resources 21.6%.

Perjanjian batal
Bagaimanapun, selepas hampir satu setengah tahun, TRX City dalam satu kenyataan pada 3 Mei lalu mengumumkan perjanjiannya dengan IWH-CREC telah luput dan terbatal, dan ia masih gagal membuat pembayaran bagi pemilikan kepentingan dalam Bandar Malaysia.

Dakwaan itu dipertikaikan IWH-CREC. Semalam, ia berkata segala bayaran sudah dibuat berdasarkan perjanjian pada Disember 2015 itu, dan konsortium itu juga berupaya membuat bayaran selanjutnya di masa depan.
Kini projek yang disebut-sebut sebagai pembangunan terbesar dalam sejarah Kuala Lumpur menunggu rakan baru.

No comments:

Post a Comment