PAS diingatkan supaya jangan terlalu yakin kerana pengundi Kelantan
adalah rakyat paling bijak dalam politik, kata Salahuddin Ayub.
Menurut beliau, sepanjang 40 tahun bergiat aktif dalam politik,
pengundi Kelantan - sebahagian besarnya adalah Melayu - boleh membuat
keputusan berbeza pada saat-saat akhir sebelum pilihan raya.
Katanya, orang Melayu Kelantan berbeza dengan Melayu di negeri lain yang kebanyakannya sukar berubah dalam pegangan politik.
"Saya lihat orang Melayu Kelantan ini sedang memerhatikan, menjadi
pemerhati kepada kehadiran dan gelagat semua parti, termasuklah Parti
Amanah Negara (AMANAH)," katanya kepada Malaysiakini.
Sebelum ini Malaysiakini menyiarkan laporan mengenai keyakinan
seorang pemimpin PAS Kelantan tentang masa depan parti itu menghadapi
pilihan raya umum (PRU) tidak lama lagi.
Kata Abdul Ariffahmi Abd Rahman, AMANAH tidak akan memenangi walau satu kerusi pun pada PRU akan datang.
Beliau yang kini menjawat tugas sebagai Ketua Penerangan PAS Machang
berkata parti itu mempunyai strategi tersendiri untuk melanjutkan usia
pentadbiran mereka yang bermula sejak 1990 lalu.
Pada masa sama, kata Ariffahmi, AMANAH pula bergantung kepada DAP untuk mendapatkan kerusi.
Untuk
rekod, Ariffahmi adalah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan
Menteri Besar Kelantan dan menantu kepada Allahyarham Datuk Nik Abdul
Aziz Nik Mat.
Namanya menjadi perhatian pada fasa awal keretakan hubungan antara
golongan konservatif dalam PAS dengan sebahagian pimpinan parti itu yang
kemudian melahirkan AMANAH.
Salahuddin memang anak kelahiran Pontian, Johor, dan kini menjadi
timbalan presiden AMANAH. Walaupun begitu, beliau mempunyai sejarah
tersendiri dengan pengundi di Kelantan kerana pernah menjadi anggota
parlimen Kubang Kerian.
Sekarang ada kelemahan
Jawatan terakhirnya sebelum tersingkir dari PAS ialah naib presiden parti berkenaan.
Mengulas lanjut kenyataan Ariffahmi, Salahuddin berkata, ia mungkin bertitik tolak daripada perasaan dendam.
"Kalau PAS nak tanamkan sentimen bahawa kami (AMANAH) khianat kepada
parti, mereka boleh sebut apa saja tetapi dalam politik realitinya
berbeza sama sekali.
"Kita perlu melihat pada gambaran lebih besar, secara menyeluruh dan perkembangan yang berlaku hari ini," katanya.
Mengakui tidak berani menyatakan AMANAH akan merampas Kelantan,
Salahuddin berkata, berdasarkan suasana semasa, mereka mempunyai peluang
menggantikan PAS.
Keyakinan bahawa PAS akan kekal selama-lamanya di Kelantan, kata Salahuddin, adalah pola pemikiran daripada paradigma lama.
Beliau juga mengingatkan PAS menguasai Kelantan pada PRU kelapan pada
1990 adalah dengan bantuan parti yang baru ditubuhkan hasil krisis
dalaman Umno, Semangat 46.
Kesediaan majoriti pengundi Kelantan menolak BN, katanya, adalah
bukti bagaimana orang Melayu di negeri itu boleh berubah dan menentukan
sikap pada waktu berkenaan.
"AMANAH sekarang ini melihat ada kelemahan dalam pentadbiran PAS dan
ia menjadi kegelisahan rakyat di negeri itu. Dan memang majoriti rakyat
Kelantan menolak Umno. Kehadiran AMANAH benar-benar memberi pilihan baru
kepada rakyat," katanya.
Malaysiakini 2/5/217
No comments:
Post a Comment