Sunday, June 18, 2017

Anwar mahu PH kekal konsensus, manfaatkan Dr Mahathir

 | June 17, 2017
Usul PPBM merombak struktur PH dengan pimpinan utama parti itu menguasai jawatan pengerusi dan presiden dalam struktur baharu dikhuatiri akan menjadikannya mirip BN.
anwar-mahathirPETALING JAYA: Dilihat sebagai usaha mengimbangi ‘kegusaran’ dalam Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pakatan pembangkang itu mengekalkan tradisi konsensus dan pada masa yang sama “memanfaatkan kedudukan dan peranan Tun Dr Mahathir Mohamad.”
Dalam kenyataan media dikeluarkan hari ini, Anwar berkata, PH perlu mengekalkan tradisi konsensus seperti mana pengalaman Pakatan Rakyat sebelum ini.

Anwar, Ketua Umum PKR berkata, semua ketua parti mempunyai kedudukan yang sama dengan presiden atau pengerusi masing-masing hanya sebagai penyelaras manakala segala persiapan atau agenda mesyuarat dikendali oleh Sekretariat Bersama mewakili semua parti.
PH menggantikan Pakatan Rakyat yang terkubur 2 tahun lalu. Dua bulan lalu, PH menerima PPBM sebagai anggota gabungan yang keempat.

Anwar juga berkata, usul PPBM untuk merombak struktur PH dengan pimpinan utama parti tersebut menguasai jawatan pengerusi dan presiden dalam struktur baharu dikhuatiri akan merombak kerangka pakatan itu menjadikannya mirip Barisan Nasional.

“Maka kesediaan semua pihak dalam PH untuk meneliti semula dan meminda cadangan tersebut dengan mengekalkan muafakat asal Pakatan Harapan adalah dialukan,” kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan menjelang pengumuman rasmi mengenai struktur PH.
Pada Jun lalu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, PH sudah mempersetujui senarai kepimpinannya yang akan diumumkan dan didaftarkan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) selewat-lewatnya minggu depan.

Katanya, senarai itu disepakati kepimpinan keempat-empat parti komponen gabungan itu.
Beliau yang juga presiden PKR yakin barisan kepimpinan yang akan menerajui PH mampu membawa perubahan kepada politik negara.

Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menafikan bapanya dilantik sebagai pengerusi, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi presiden dan Anwar sekadar penasihat PH berdasarkan senarai struktur organisasi PH yang tersebar.

Dalam kenyataan media hari ini, Anwar berkata, dengan hasrat merangkul semua kekuatan dalam 1 pasukan mantap menentang Umno-BN adalah dirasakan wajar memastikan penyertaan semua pimpinan secara berkesan.

“Ini termasuk memanfaatkan kedudukan dan peranan Tun Mahathir. Agak kurang bijak untuk membuat sebarang andaian sebelum semua pimpinan parti menyatakan sikap dan usul tersebut dimuktamadkan,” kata beliau yang merupakan timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno semasa kepimpinan Dr Mahathir sebagai perdana menteri.

Anwar berkata, sepertimana yang disepakati Pakatan Rakyat dan kini PH, “kita menggagaskan pembaharuan dan mengusung idea politk baru.”
“Kita berpaksikan prinsip luhur Perlembagaan termasuk kedudukan Islam, hak keistimewaan Melayu-Bumiputera, bahasa, dan Raja-raja Melayu.

“Kendati begitu, kita menolak asas politik perkauman, disebaliknya komited untuk menegakkan amalan demokrasi dan prinsip keadilan.”
Katanya, keutamaan dasar menjurus kepada kebajikan rakyat dengan menolak kerakusan kuasa dan rasuah.
“Laungan kita tidak terbatas kepada perubahan pimpinan tetapi sistem lapuk yang diwarisi yang mengizinkan segala pelanggaran hukum dan rasuah oleh pemimpin tanpa kawalan dan tindakan,” kata Anwar.

Malah tegas Anwar, PH harus terpancang kepada dasar negara, kebobrokan sistem dan ke arah kemenangan PRU14.
“Isu pinggiran lainnya, muslihat perebutan kuasa dan kedudukan atau keterlanjuran kata kurang sopan dalam PH tidak harus diizinkan,” kata beliau.

No comments:

Post a Comment