17 Jun 2017
KUALA TERENGGANU - Nama unik bagi produk yang dijual digunakan peniaga
yang berniaga di bazar Ramadan sedikit sebanyak membantu mempromosikan
lagi perniagaan mereka.
Pengusaha 'Ayam Pusing Pening Musing', Ahmad Ameruddin Muhammad Amin,
37, berkata, sejak memulakan perniagaan itu empat tahun lalu, pelanggan
lebih mengenali produk yang dijualnya dengan panggilan ‘Ayam Pening’.
“Walaupun nama yang diberikan panjang, tetapi nama ‘Ayam Pening’ lebih mudah diingati pelanggan.
“Nama itu ringkas, mudah disebut, ada terselit elemen humor dan
kanak-kanak yang datang ke gerai untuk membeli ayam pun mudah ingat nama
ayam yang hendak dibeli, ‘Ayam Pening’,” katanya yang berniaga di Bazar
Ramadan, Pasar Manir, di sini.
Beliau yang berasal dari Bukit Payong, di sini, berkata, selain nama
yang mudah diingat, kelainan sos yang disediakan bagi ayam golek yang
dijual menjadikan ia sentiasa mendapat permintaan yang tinggi.
Ditanya mengenai jumlah ayam terjual pada setiap hari sepanjang
Ramadan, katanya, ia tidak mengecewakan kerana ayam yang dijual laris
setiap hari.
“Alhamdulillah, awal Ramadan lalu, ‘Ayam Pening’ laku hingga 150 ekor
sehari, di pertengahan Ramadan ini pula terjual sehingga 130 ekor sehari
mungkin juga pelanggan ingin beralih selera atau ingin mencuba juadah
yang lain.
“Bagaimanapun, kebanyakan pelanggan yang datang ialah pelanggan tetap,
ada juga pelanggan baharu yang datang untuk mendapatkan ‘Ayam Pening’
sepanjang Ramadan,” katanya yang turut beroperasi pada hari biasa.
Ahmad Ameruddin berkata, selain mengekalkan rasa, beliau juga turut
mengekalkan harga jualan ayam iaitu RM23 atau RM22 bagi seekor ayam yang
dijual.
“Biarpun harga bahan mentah naik, tetapi kita tetap ada dapat untung
dari segi jualan setiap hari,” katanya yang mengusahakan perniagaan itu
bersama isteri, Nor Azita Aziz, 24.
Selain berniaga di bazar Ramadan pada bulan puasa, perniagaannya yang
turut dibantu oleh dua lagi pekerja beroperasi seperti biasa iaitu pada
hari Ahad hingga Jumaat berhadapan Pasar Manir.
No comments:
Post a Comment