CyberSecurity Malaysia berkata, sekurang-kurangnya 33
laman di Malaysia digodam sebagai protes terhadap kesilapan mencetak
bendera Indonesia secara terbalik dalam buku khas cenderahati KL2017.
PETALING JAYA: CyberSecurity Malaysia memberi amaran kepada
pengendali laman di negara ini supaya mengambil langkah melindungi
sistem mereka, selepas sekurang-kurangnya 33 laman digodam sebagai
membantah bendera Indonesia dicetak terbalik dalam buku khas cenderahati
Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Amirudin Abdul Wahab berkata,
serangan itu adalah “nyata” dan agensi di bawah Kementerian Sains,
Teknologi dan Inovasi itu sedang menyiasat dan memantaunya.
Mereka juga akan bekerjasama rapat dengan badan lain untuk mengurangkan serangan itu.
Beliau memberitahu FMT sekurang-kurangnya 33 laman Malaysia digodam hari ini sehingga 3.40 petang tadi.
Sehubungan itu, beliau menyarankan organisasi menggunakan program pertahanan siber mendalam untuk melindungi rangkaian mereka.
Katanya, sistem, aplikasi dan tambahan pihak ketiga perlu dikemas kini dengan kemas kini terbaru dan “patch” keselamatan.
“Jika anda menggunakan sistem operasi atau perisian versi lebih lama,
pastikan ia dinaik taraf kepada versi terkini. Versi lama mungkin
mempunyai beberapa kelemahan yang boleh dimanipulasi penceroboh,”
katanya.
Amirudin turut menggesa pengendali sistem laman untuk mengukuhkan
konfigurasi rangkaiamn mereka, sistem operasi dan komponen aplikasi yang
mungkin disasarkan serangan distributed-denial-of-service (DDoS).
Serangan DDoS berlaku apabila lebar jalur sistem yang disasarkan
dipenuhi trafik – biasanya daripada mesin digodam atau dijangkiti virus –
untuk mengatasi kapasiti sistem dan menyekat akses kepada
perkhidmatannya.
“Organisasi disyorkan melakukan penilaian kerentanan dan ujian penebusan terhadap sistem mereka,” katanya.
Agensi berita AFP hari ini melaporkan sekumpulan penggodam Indonesia
yang menggelar diri “ExtremeCrew” mengaku bertanggungjawab menyerang
lebih 30 laman Malaysia sebagai protes terhadap kesilapan mencetak
bendera merah putih Indonesia secara terbalik dalam buku khas
cenderamata KL2017 untuk upacara perasmian temasya 2 tahun sekali itu
pada Sabtu lalu.
Portal berita Indonesia, Suara.com pula melaporkan penggodam daripada
kumpulan “hacker rulez” menggodam laman yang kebanyakannya milik
persendirian dan blog perniagaan di Malaysia.
Antara laman yang menjadi mangsa ialah kualalumpurmalaysia.com, yang dimiliki penulis motivasi dan jutawan Azizi Ali.
Klik ke laman itu membawa pengunjung ke sebuah lagi laman milik
Azizi, www.beahappymillionaire.com, yang kini tertera ayat “Bendera
negaraku bukanlah mainan”.
Gambar daripada halaman buku rasmi Sukan SEA yang menjadi kontroversi
itu juga dimuat naik, dengan lagu kebangsaan Indonesia “Tanah Air Beta”
bermain sebagai bunyi latar.
Semalam, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin memohon maaf bagi
pihak Malaysia selaku tuan rumah Sukan SEA kepada seluruh rakyat
Indonesia atas kesilapan mencetak bendera negara itu.
Jawatankuasa Penganjur Malaysia Sukan SEA 2017 (Masoc) turut memohon
maaf kepada semua rakyat Indonesia atas kesilapan yang tidak
disengajakan itu.
Khairy selaku pengerusi Masoc turut memohon maaf kepada rakan sejawatannya, Imam Nahrawi, dalam kunjungan hormat semalam.
Wisma Putra turut menyampaikan permohonan maaf kepada kerajaan Indonesia berhubung kesilapan itu.
Presiden Indonesia, Joko Widodo berkata, walaupun perkara itu sangat
dikesali, namun rakyatnya diminta tidak bersikap berlebihan dan
memperbesarkan isu itu.
Ratusan anggota beberapa pertubuhan hari ini mengadakan protes di
luar Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, dengan menuduh penganjur KL2017
sengaja mencetak bendera Indonesia secara terbalik.
FMT
No comments:
Post a Comment