Kelantan negeri kaya dengan sumber alam dan rakyat
tetapi kerana PAS ramai warganya terpaksa bekerja di negeri lain, kata
Dr Mahathir.
VIDEO INSIDE
MACHANG:
Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad yakin gabungan
pembangkang pada pilihan raya akan datang mampu menggulingkan kerajaan
PAS di Kelantan, yang menurutnya kaya dengan sumber alam dan rakyat
tetapi warganya terpaksa bekerja di negeri orang.
“Kemajuan Kelantan terhalang kerana kita perlu ada kecekapan,” kata
bekas perdana menteri itu membidas kebolehan pentadbiran PAS sekarang
ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian PH
Kelantan di Machang hari ini. Kira-kira 1,000 orang hadir ke majlis itu.
“Kelantan negeri termiskin sebabnya sumber alam memang ada, tenaga
manusia memang ada dan cukup baik, tapi oleh kerana pemerintah tidak
tahu bangunkan Kelantan, ramai orang Kelantan terpaksa bekerja di negeri
lain.”
Beliau berkata tadbir urus kerajaan memberi kesan kepada peluang
pekerjaan di satu-satu tempat, dan ketiadaan peluang antara sebab
penghijrahan keluar rakyat.
“Saya dapati sekarang ini ramai juga orang Melayu yang tak suka
tinggal di negara mereka. Sekarang ini berada di Australia bekerja
sebagai buruh kerana di sini tiada peluang,” katanya.
Dr Mahathir hari ini menjejakkan kaki ke Kelantan yang merupakan kubu kuat PAS, bagi melancarkan penubuhan gabungan pembangkang.
Walaupun keadaan berlumpur di lokasi perasmian susulan hujan lebat
sebelum majlis bermula, ia tidak menghalang bekas perdana menteri itu
memenuhi jemputan sebagai tetamu khas.
Di majlis itu, Dr Mahathir dalam ucapannya tidak menghakimi pengundi
yang mengambil sumbangan daripada Umno, namun menggesa mereka mengundi
PH pada PRU14.
“Nak ambil duit dari Umno ambil la, tapi undi kita jangan beri, kita undi Pakatan Harapan,” katanya.
Sementara itu, Presiden Amanah Mohamad Sabu yakin rakyat Kelantan
cerdik dan pandai membuat pilihan parti mana mahu diberi mandat
mentadbir negeri.
Katanya, sudah masanya rakyat Kelantan menukar pemimpin kerajaan Kelantan kepada Pakatan Harapan. FMT
Nurul Azwa menyumbang kepada laporan ini.
No comments:
Post a Comment