Wednesday, September 27, 2017

Saman Nik Nazmi terhadap bekas peguam negara, kerajaan dibicarakan

 | September 26, 2017
Nik Nazmi mendakwa tindakan Abdul Gani mendakwanya sebanyak 2 kali atas pertuduhan sama mencemarkan maruahnya dan menggambarkannya sebagai seorang penjenayah.
nik-nazmi-Abdul-Gani-PatailPUTRAJAYA: Saman dikemukakan ADUN Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad terhadap bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan kerajaan Malaysia berhubung pendakwaan berniat jahat susulan penahanannya sebanyak 2 kali bagi kesalahan sama, akan dibicarakan pada 16 dan 17 Oktober.

Ini ekoran penolakan rayuan Abdul Gani dan kerajaan oleh Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 17 Mei tahun ini yang menolak permohonan mereka untuk membatalkan saman Nik Nazmi.

Hakim Datuk Umi Kalthum Abdul Majid mengetuai panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli dan Hakim Datuk Zaleha Yusof membuat keputusan itu selepas mendengar hujah Peguam Kanan Persekutuan Kamal Azira Hassan mewakili Abdul Gani dan kerajaan, manakala peguam Syahredzan Johan bagi pihak Nik Nazmi.
“Kami sebulat suara. Kami menolak rayuan tanpa mengeluarkan perintah berkaitan kos,” kata Hakim Umi Kalthum.

Di luar mahkamah, Syahredzan memberitahu pemberita, dengan keputusan itu, perbicaraan akan berlangsung pada 16 dan 17 Oktober di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FMT

No comments:

Post a Comment