Peranan Islam di negara ini beri kesan kepada semua orang, kata Marina Mahathir.
KUALA
LUMPUR: Aktivis terkemuka, Marina Mahathir, hari ini mempertahankan hak
orang bukan Islam untuk bercakap mengenai isu yang berhubung dengan
Islam, memandangkan peranan agama itu dalam lingkungan awam.
“Jika Islam digunakan sebagai sumber undang-undang dan dasar awam,
yang akan menjejaskan semua orang, maka semua orang termasuk bukan Islam
berhak mempersoalkannya,” kata Marina di wacana anjuran Islamic
Renaissance Front (IRF) hari ini.
Sebelum itu, seorang peserta forum berkongsi pengalaman dituduh
mencampuri hal ehwal orang Islam setiap kali beliau bercakap tentang
topik Islam.
Sebelum ini, pemimpin PAS dan Umno memberi amaran kepada orang bukan
Islam agar tidak mengkritik rang undang-undang persendirian PAS yang
mahu meningkatkan hukuman dalam Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa
Jenayah) 1965, dengan mendakwa ia sama seperti mencampuri hal ehwal
orang Islam.
Sementara itu, Marina menyambut baik kenyataan Sultan Johor dan
Sultan Selangor dalam kontroversi membabitkan seorang pegawai Jabatan
Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) baru-baru ini.
Beliau berkata pemimpin politik sepatutnya lebih awal menyatakan pendirian mereka.
“Adakah agama ajar kita menjadi taksub? Adakah Islam ajar kita melakukan diskriminasi? Sama sekali tidak.
“Pemimpin politik perlu bersuara. Kalau mereka kenal agama mereka,
mereka ada asas yang kuat untuk menolak semua benda mengarut. Tidak
perlu tunggu orang lain,” katanya kepada FMT.
Awal bulan ini, seorang pegawai Jakim Zamihan Mat Zin mengkritik
Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kerana mengecam seorang pengusaha kedai
dobi di Muar kerana tidak mahu memberikan perkhidmatan kepada pelanggan
bukan Islam.
Dalam satu ceramah di Majis Tengku Ampuan Jemaah di Shah Alam,
Zamihan turut membuat kenyataan mengenai kebersihan orang Cina Malaysia.
Tidak lama kemudian beliau ditahan kerana hasutan, dan tauliah beliau untuk mengajar agama dilucutkan Istana Selangor.
No comments:
Post a Comment