Monday, October 23, 2017

Mustafa: PAS wajar sambut kerjasama dengan Umno

 Malaysiakini 22/10/17

Barisan kepimpinan PAS perlu berhenti main ‘tarik tali’ dan menilai kembali tawaran kerjasama Umno pada pilihan raya umum akan datang, kata Pengerusi Lembaga Penasihat PAS Datuk Mustafa Ali.

Beliau berkata perkara berkenaan adalah alternatif terbaik kepada PAS untuk memenangi lebih banyak kerusi pada pilihan raya umum akan datang seperti yang diusulkan oleh Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa awal Oktober lalu.

“Bagi saya wajar menyambut (cadangan kerjasama) dan saya tidak fikir bahawa Annuar akan mengajak PAS untuk menyertai Umno. Kalau ajak menyertai Umno, saya sendiri juga tidak akan setuju dan tetap akan lawan.

“Jika kita ingin bercakap tentang kerjasama ini macam konsep ‘tahaluf’ dan ‘tabayyun’, saya rasa Umno dan PAS boleh berbincang untuk kepentingan masa depan negara. Tetapi saya tidak nampak sebarang jawapan yang serius dalam pemimpin PAS dan bila tiada respons serius, saya rasa ia sesuatu yang tidak kena,” katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu, hari ini.

Katanya sebelum ini kedua-dua pihak pernah berbincang mengenai kerjasama tersebut tetapi hingga kini masih tiada kata putus mengenainya.

“Perbincangan terdahulu terlampau banyak syarat yang dikenakan antara dua-dua belah parti sehingga hasilnya tiada apa yang harus kita buat ialah bincang dahulu supaya PAS boleh memahami perspektif Umno dan Umno juga harus faham perspektif PAS,” katanya.
Beliau turut mengulas tentang politik negara ketika ini yang didakwanya dalam keadaan tidak sihat.

“Saya membuat perhatian dan analisis senario di mana semakin hampir dengan pilihan raya umum semakin tidak harmoni politik negara.
“Kini timbul isu memberi gelaran yang tidak elok kepada pemimpin-pemimpin tertentu, contohnya bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir (Mohamad) memanggil Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) sebagai ‘Lanun Bugis’,” katanya.

Beliau berkata dalam berpolitik perlu ada kematangan, kewarasan, bebas dan adil serta perlu cakna atau prihatin terhadap masalah rakyat dan negara. -Bernama

No comments:

Post a Comment