Wednesday, November 15, 2017

Kemalangan maut di Thailand mungkin tertinggi dunia

kemalangan
BANGKOK - THAILAND. Statistik menunjukkan angka kematian akibat nahas jalan raya di Thailand, meningkat hampir 3,000 orang dan jumlah itu mungkin merupakan yang tertinggi di dunia, lapor agensi berita Thailand (TNA).

Berdasarkan data dikumpulkan pertubuhan keselamatan jalan raya untuk 2016/17 mendedahkan, seramai 22,356 orang maut pada 2016 iaitu peningkatan sebanyak 2,877 berbanding 19,479 pada tahun 2015.
Tiga perempat korban nahas adalah lelaki dan purata umur antara 15 hingga 29 tahun.

Pensyarah Institut Teknologi Ladkrabang, King Mongkut, Preeda Jaturapong berkata, enam wilayah dengan kadar kematian tertinggi ialah wilayah Rayong dengan kadar 72 per 100,000 orang, Sa Kaeo (69), Chon Buri (58), Chanthaburi, (57), Nakhon Nayok (56), dan Prachin Buri (55).

Beliau mengakui, kadar kematian tinggi dilaporkan di jalan raya yang sibuk dan kawasan tarikan pelancong.
Enam wilayah dengan kadar kematian terendah ialah Bangkok dengan 14.30 kematian setiap 100,000 orang, Yala (17.2), Mae Hong Son (18.2), Satun (18.3), Amnat Charoen (18.4), dan Pattani (20).

Daripada jumlah korban, 39 peratus terdiri penunggang motosikal, lima peratus pejalan kaki dan satu peratus penunggang basikal.
Lima wilayah mencatatkan jumlah korban paling tinggi berbanding laporan keselamatan jalan raya pada 2014, ialah wilayah Sa Kaeo, Lop Buri, Nakhon Nayok, Ang Thong dan Sing Buri.

Wilayah yang menunjukkan penurunan paling mendadak, ialah wilayah Tak, Chumphon, Prachin Buri dan Nakhon Sawan.
Pengarah Pusat Kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Dr Withaya Chartbanchachai berkata, laporan keselamatan jalan raya terkini itu, mencetuskan kebimbangan serius, memandangkan angka kematian melebihi 22,000 daripada jumlah keseluruhan penduduk Thailand sebanyak 60 juta.

Selain itu, jumlah mangsa yang cedera dan menjadi cacat akibat kemalangan jalan raya, mencecah jutaan orang dan kos kerosakan pula sekurang-kurangnya berjumlah 500 bilion baht (US$15.12 bilion) setahun, katanya.

Statistik terkini itu, mungkin menjadikan Thailand sebagai negara yang mempunyai kadar kematian akibat kemalangan jalan raya tertinggi di dunia, berbanding tempat kedua pada tahun sebelumnya.
Beliau, menyalahkan penguatkuasaan undang-undang yang lemah terhadap pesalah jalan raya penyumbang kepada masalah tersebut. - Bernama

No comments:

Post a Comment