Wednesday, November 22, 2017

MTUC persoal cadangan cuti bersalin 30 hari untuk ayah

 | November 22, 2017
Cadangan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat perlu dikaji dari segi keperluan dan kos.
halim-mansor-cuti-besalim-lelaki 
KUALA LUMPUR: Cadangan agar golongan bapa diberi cuti paterniti 30 hari perlu dikaji dan dipertimbangkan dari pelbagai sudut, demikian menurut Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Presiden MTUC Abdul Halim Mansor berkata kaji selidik perlu dibuat pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang mengusulkan perkara itu dengan Kementerian Sumber Manusia yang mempunyai pegawai, pakar dalam faedah-faedah dan akta berhubung perkara berkenaan.
“Melihat dari sudut untuk bersama menjaga keperluan menjaga anak yang baharu lahir, pendapat dan alasan itu kurang kuat dan fakta itu terlalu lemah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Halim berkata cadangan cuti 30 hari itu juga akan menjadi kos yang mesti ditanggung oleh syarikat dan pihak majikan harus dirujuk sebelum cadangan itu boleh dilaksanakan.
“Perlindungan wanita bersalin ialah satu perlindungan yang memerlukan wanita untuk mengandung sehingga 22 minggu untuk layak. Cuti untuk suami ini adakah perlindungan atau faedah?,” soalnya.

Halim berkata sekiranya cadangan itu bukan perlindungan, ia perlu dibawa kepada Kementerian Sumber Manusia untuk dibawa kepada Majlis Buruh Kebangsaan untuk dibahaskan bersama pihak majikan sebelum menjadi undang-undang.

“MTUC tidak mahu cadangan menteri menjadi material politik. Perlindungan yang tiada sekarang hendak diperjuangkan mesti berhati-hati,” katanya.
Semalam, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun dilapor berkata kementerian akan mengusulkan kepada kerajaan agar cuti paterniti dinaikkan kepada 30 hari berbanding 7 hari sekarang
FMT

No comments:

Post a Comment