Wednesday, November 29, 2017

Selepas rampasan RM13.5 juta, imigresen temui RM1.45 juta lagi

 | November 29, 2017
Penemuan wang tunai itu menjadikan rampasan setakat ini melebihi RM14 juta yang merupakan rampasan terbesar Jabatan Imigresen.
Mustafar-Ali_duit_600
PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen merampas wang tunai sebanyak RM1.45 juta di rumah seorang suspek yang ditahan di Kota Kinabalu, semalam.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, penemuan itu merupakan tambahan kepada wang tunai RM13.5 juta yang dirampas imigresen Jumaat lalu.
“Selepas tangkapan semalam, kita temui RM1.45 juta lagi.

“Kita temui wang tunai itu yang disimpan dalam peti besi di rumah suspek.
“Penemuan wang tunai itu menjadikan rampasan setakat ini bernilai lebih RM14 juta dan itu rampasan terbesar dilakukan imigresen,” katanya selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini.

Beliau mengulas tangkapan seorang wanita berusia 46 tahun yang merupakan isteri kepada suspek utama yang ditahan dalam Ops Gegar, Jumaat lalu.
Dalam serbuan ke atas sebuah hotel di Kota Kinabalu itu, Jabatan Imigresen menahan 20 individu dan menjumpai wang tunai RM11.88 juta.

Seramai 17 daripada 21 individu ditahan itu ialah 17 wanita Filipina dalam lingkungan belasan tahun hingga 30-an yang dipercayai merupakan mangsa sindiket pelacuran dan pemerdagangan manusia didalangi 3 lelaki tempatan.
Siasatan lanjut di pangsapuri milik seorang daripada suspek ditahan yang tidak jauh dari lokasi serbuan itu, menemui RM1.16 juta lagi.

Susulan itu, Jabatan Imigresen menubuhkan sebuah pasukan khas bagi menyiasat penemuan wang tunai itu.
Mustafar berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan agensi lain untuk siasatan lanjut kes itu.

“Berdasarkan siasatan awal, kami fikir wang itu ada kaitan dengan pelbagai aktiviti pelacuran dan pemerdagangan manusia, tetapi kita akan terus menyiasat. Kita tidak mahu membuat andaian sendiri,” katanya.
FMT

No comments:

Post a Comment