Perbandingan kos yang dinyatakan timbalan menteri
dengan harga di laman web membeli belah dalam talian menunjukkan
perbezaan harga sebanyak RM444, kata Steven Sim.
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim Chee Keong
mendakwa Utusan Melayu menjual komputer tablet kepada kerajaan dengan
harga 114% lebih mahal daripada harga pasaran.
Beliau membuat dakwaan itu selepas membandingkan kos yang dinyatakan
Timbalan Menteri Pendidikan P Kamalanathan di Parlimen 30 November lalu
dengan harga di laman web membeli belah dalam talian, menunjukkan
perbezaan harga sebanyak RM444.
Steven pada 30 November lalu mendedahkan Utusan Melayu mendapat
kontrak kerajaan persekutuan untuk menjadi pembekal komputer tablet
kepada 430,000 guru di seluruh negara. Menurut Steven, kos projek
tersebut dijangka mencecah RM340 juta.
“Mengikut jawapan Parlimen daripada timbalan menteri pendidikan,
sebanyak 182,712 unit komputer tablet telah diedarkan dengan kos
sebanyak RM152 juta. Dalam kata lain, setiap unit tablet dibekal oleh
Utusan kepada kerajaan dengan harga RM832.
“Daripada laman web membeli belah popular, Lazada.com.my, Lenovo Tab3
7 Essential ini boleh dibeli dengan harga RM388. Ini bermakna, kerajaan
pusat telah membeli setiap tablet daripada Utusan dengan harga 114%
lebih mahal daripada harga pasaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengingatkan harga RM388 itu harga pembelian runcit dalam
talian, dan percaya harga yang lebih baik boleh diperoleh jika pembelian
430,000 unit dibuat secara borong dan proses tender terbuka
dilaksanakan.
“Setiap tahun Jabatan Audit Negara mengetengahkan isu kerajaan
membeli barang dengan harga yang terlampau tinggi berbanding harga
pasaran.
“Kini perkara ini berulang untuk sebuah projek yang diumumkan oleh
Perdana Menteri Najib Razak sendiri semasa membentangkan Bajet 2017 pada
tahun lepas,” katanya.
Steven menggesa kerajaan persekutuan menghentikan perkhidmatan Utusan
Melayu sebagai pembekal tablet bantuan mengajar, dan melantik syarikat
baharu daripada kalangan syarikat berpengalaman serta melalui proses
tender terbuka.
Sebelum ini, wakil rakyat DAP itu berkata pemberian kontrak
membekalkan tablet itu merupakan “talian hayat” kerajaan kepada akhbar
itu. Beliau turut mempersoalkan ketiadaan tender terbuka untuk projek
itu.
“Bagaimana sebuah syarikat surat khabar yang mengalami kerugian
tiap-tiap tahun boleh diberi kontrak RM340 juta membekalkan komputer
tablet?” soalnya.
Steven mendakwa syarikat akhbar itu mencatatkan kerugian sejak 4
tahun lalu, dengan jumlah kerugian mencecah hampir RM220 juta sejak
2013.
Beliau turut memetik laporan Biro Audit Pengedaran pada Mei lepas
yang mendapati kejatuhan pengedaran Utusan Malaysia sebanyak 14% ataupun
lebih 20,000 naskah, manakala edisi Ahad, Mingguan Malaysia pula
merosot sebanyak 10% ataupun lebih 30,000 naskah.
Pada 30 November lalu, Utusan Melayu dan Kumpulan Utusan mengumumkan
keuntungan sebelum cukai sebanyak RM31.5 juta bagi suku ke-3 tahun ini
berbanding kerugian RM10.7 juta dalam suku sebelumnya.
Kumpulan Utusan dilaporkan berkata, ia disebabkan peningkatan
perolehan sebanyak 74% yang disumbang terutamanya oleh keuntungan
daripada penjualan hartanah, serta peningkatan perolehan dalam talian
yang dijana daripada projek pembekalan tablet kepada guru Kementerian
Pendidikan
No comments:
Post a Comment