Shahrizat Abdul Jalil juga memberi pilihan sama ada
memilih Najib yang memiliki rekod cemerlang atau DAP yang akan menindas
bangsa Melayu pada PRU14.
KUALA
LUMPUR: Wanita Umno mengisytiharkan perang bagi memastikan parti Melayu
itu kekal memerintah Putrajaya dan tidak dirampas pembangkang pada
pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Ketua Wanita Umno Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, PRU14
merupakan jihad buat Wanita Umno agar Malaysia terus dipimpin oleh
pemimpin yang mempunyai rekod cemerlang.
“Di hadapan kita musuh yang menggila, ini perang yang bukan kepalang,
ini sumpah seorang pejuang. Ini perang yang mesti menang, kita tegakkan
panji keramat. Kita perang demi maruah, kita perang demi bangsa kita
perang mesti menang.
“Ini amaran Wanita, sekali anak bangsa kami disentuh, siang malam
Wanita rempuh. Sekali Wanita perang, jangan siapa berani halang. Sekali
Wanita perang, semua petualang mesti kecundang.
“Ini perang mesti menang wahai ibu terbaik bangsa, gendang perang
sudah dipalu, seruan jihad gegar berseru, pilihan kita hanya satu.
Perang mesti menang,” katanya sewaktu menyampaikan ucapan dasar
Pergerakan Wanita Umno di Perhimpunan Agung Umno ke-17 di PWTC, hari
ini.
Mengulas lanjut, Shahrizat juga memberikan kata dua kepada Wanita
Umno sama ada memilih pemimpin yang sudah diketahui secara fakta dan
angka memiliki rekod cemerlang atau pemimpin yang akan menindas bangsa
Melayu.
“Kali ini rakyat terpaksa hadapi kata dua, pilihlah wahai rakyat.
Pilihlah di antara dua. Satu kanan, kerajaan parti yang dipimpin Datuk
Seri Najib Razak dan saf kepimpinan Barisan Nasional (BN). Kita kenal
hati budi, rekod pencapaian Najib.
“Jika kiri, pilihlah kerajaan yang dikemudikan DAP. Sanggupkah rakyat
Malaysia serah bulat-bulat negara yang kita bina sekian lama kepada
pemimpin ‘cauvanist’. Pemimpin yang agendanya membimbangkan kita semua.
“Hanya 2 pilihan, kerajaan dipimpin Najib, melalui BN atau
pembangkang yang akan dipimpin Lim Kit Siang. Sanggupkah kita lihat ia
berlaku?” katanya.
Shahrizat turut memetik nama isteri perdana menteri, Datin Seri
Rosmah Mansor yang menurutnya menjadi pendorong kepada kewujudan Akta
Kesalahan-kesalahan Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
“Wanita juga berbangga, kerana Rosmah yang mendorong kepada kewujudan
Akta Kesalahan-kesalahan Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
“Seterusnya usaha penubuhan mahkamah Kesalahan-kesalahan Jenayah
Seksual Terhadap Kanak-Kanak diwujudkan. Ini juga satu tanda bakti yang
akan terus dikenang,” katanya.
FMT
No comments:
Post a Comment