GEORGE TOWN: Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan syarikat portal,
FZ Sdn Bhd, membayar ganti rugi RM150,000 kepada Ketua Menteri Pulau
Pinang Lim Guan Eng dan RM100,000 kepada ahli perniagaan Tan Sri Tan Kok
Ping kerana memfitnah berhubung penyiaran satu artikel mengenai
pembelian kereta Mercedes Benz dalam laman web www.fz.com, 4 tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Abdul Wahab Mohamed turut memerintahkan
syarikat portal yang sudah ditutup itu membayar kos RM35,000
masing-masing kepada Lim dan Tan.
Dalam penghakimannya, Abdul Wahab berkata wujud unsur fitnah dalam
artikel itu kerana pihak defendan gagal membuat pengesahan dengan
plaintif terlebih dahulu sebelum menulis artikel berkenaan.
“Perkataan yang digunakan dalam artikel itu adalah fitnah. Mahkamah
mendapati perlindungan bersyarat defendan tidak terpakai disebabkan
defendan gagal melakukan beberapa perkara, misalnya membuat pengesahan
dengan plaintif… melakukan sendiri pengesahan, membuat pencarian mudah
dalam talian apabila sebahagian daripada fakta itu tidak benar,”
katanya.
Pada Januari 2014, Lim selaku plaintif memfailkan saman itu dengan
menamakan syarikat tersebut sebagai defendan pertama dan Pengarang
Urusannya Terence Fernandez yang merupakan penulis artikel itu sebagai
defendan ke-2. Tan turut memfail saman terhadap syarikat portal itu.
Dalam pernyataan tuntutan itu, Lim mendakwa Fernandez selaku
pengarang urusan dan penulis dengan sengaja, secara salah dan berniat
jahat menyebabkan satu artikel bertajuk “MACC begins probe on Merc
purchase” ditulis dan disiarkan di laman web tersebut pada 3 Januari
2014.
Ketua menteri itu mendakwa artikel tersebut menunjukkan yang beliau
seorang korup, tidak jujur, tidak amanah dan tidak layak untuk menjadi
pemimpin rakyat negeri Pulau Pinang.
Lim mendakwa artikel tersebut turut menggambarkan beliau seorang yang
terlibat dengan kegiatan penerimaan rasuah dan seorang penjenayah yang
disyaki melakukan kesalahan rasuah sehingga menyebabkan siasatan
dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menerusi pernyataan tuntutan itu juga Lim berkata pihak SPRM
mengeluarkan kenyataan badan itu tidak pernah mengeluarkan sebarang
kenyataan sedang menyiasat beliau kepada mana-mana pihak media dan
menafikan ada menjalankan siasatan terhadapnya berkenaan isu pembelian
Mercedes Benz tersebut setakat 5 Januari 2014.
Oleh itu Lim menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi
teladan, perintah untuk pihak defendan menarik balik artikel fitnah itu
dan memohon maaf kepadanya atas penulisan dan penerbitan artikel
tersebut, faedah, kos atau relif lain yang difikirkan sesuai.
Sementara itu, Fernandez yang ditemui pemberita di luar mahkamah
berkata pihaknya akan berbincang dengan peguam untuk membuat rayuan
terhadap keputusan mahkamah hari ini.
Lim diwakili peguam Datuk N Mureli dan Edwin Raj manakala peguam
Christina Siew dan Goh Chek Kang mewakili Tan. Peguam Raja Eileen Soraya
Raja Aman dan Amanda Loh Yuen Ching mewakili pihak defendan. FMT
No comments:
Post a Comment