Putrajaya mungkin menerima tindak balas hebat daripada pengundi luar bandar pada pilihan raya nanti.
KUALA
LUMPUR: Keputusan Kesatuan Eropah (EU) menyekat import minyak sawit
memburukkan lagi keadaan buat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak
menjelang pilihan raya akan datang, apatah lagi dengan pengundi luar
bandar yang terkilan dengan skandal kewangan berlaku dalam Felda.
Lebih kurang 10% daripada 30 juta rakyat Malaysia berasal dari
keluarga yang memiliki kebun kecil didedikasikan untuk menuai minyak
sawit, dan mereka membentuk majoriti pengundi di hampir suku daripada
222 jumlah kerusi Parliman.
Bersiap sedia menghadapi pilihan raya menjelang Ogos, Najib merasai
ketidakpuasan hati yang berleluasa di luar bandar apabila ratusan petani
ke Kuala Lumpur bulan lepas bagi membantah langkah EU menyekat
penggunaan minyak sawit dalam minyak bio.
“Saya tidak akan sokong kerajaan jika mereka tidak selesaikan isu
ini,” kata Abdul Rahman, seorang petani yang mengusahakan kebun kecil di
Negeri Sembilan.
“Kegagalan kerajaan yang tiada pengalaman membawa kepada boikot EU terhadap minyak sawit kita,” katanya Reuters.
Najib tidak boleh kehilangan undi Melayu luar bandar yang sehingga
hari ini menjadi bank undi Umno yang mengetuai gabungan pelbagai etnik
sejak Malaysia dibentuk selepas penjajahan British pada 1957.
Pada waktu sama, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang berusia 92 tahun dan
meletakkan jawatan pada 2003 sebagai perdana menteri paling lama
berkhidmat, kini berpakat dengan pemimpin pembangkang yang dipenjara,
Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan mengetuai kempen menentang Najib, yang
dahulu anak didiknya.
Kesetiaan Melayu kepada Umno diuji dengan pelbagai laporan sejak 3
tahun lalu berkenaan 1MDB, yang menurut pengkritik dananya digunakan
Najib untuk meningkatkan kempen pada pilihan raya 2013. Najib menang
dengan tipis dan tewas dalam undi popular kepada gabungan pembangkang
yang diketuai Anwar.
Najib yang mempengerusikan lembaga penasihat 1MDB sehinggalah ia
dibubarkan pada 2016, berkali-kali menafikan sebarang salah laku dalam
kes kehilangan berbilion dolar dana 1MDB, tetapi siasatan kleptokrasi
yang sedang dijalankan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat ke atas 1MDB
di Amerika Syarikat sentiasa membawa kes itu ke depan.
Bagi mengukuhkan kuasa dan melindungi dirinya, penganalisis berkata
Najib perlu memimpin Umno ke arah kemenangan yang meyakinkan.
“Rugi AS$500 juta”
Kontroversi 1MDB lebih banyak menjejaskan reputasi Najib dalam
kalangan Melayu di bandar, tetapi sejak tahun lalu, Melayu luar bandar
sudah mempunyai sebab untuk berasa kecewa.
Seramai 650,000 pekebun kecil di Malaysia yang mengusahakan 40% ekar
tanah didedikasikan untuk sawit, bimbang mereka akan menanggung kesan
sekatan EU itu, yang mana penganalisis DBS Vickers, William Simadiputra
meramalkan bakal memberikan kerugian sebanyak AS$550 juta setahun dalam
hasil eksport.
Menteri Pertanian Datuk Seri Mah Siew Keong memberitahu Reuters,
kerajaan berusaha memperbesarkan pasaran eksport kepada pembeli sawit
lain seperti Iran, Vietnam dan Jepun untuk meningkatkan permintaan.
Tetapi ancaman langkah tindak balas dagangan oleh kerajaan terhadap
EU dikecam pengkritik yang mengatakan ia hanya akan membawa lebih banyak
kehilangan perniagaan minyak sawit kepada pesaing.
“Mengatakan anda akan menyekat import EU, anda hanya akan memberi
lebih banyak peluang perniagaan minyak sawit kepada Indonesia,” kata
Wong Chen, seorang wakil rakyat PKR.
Malaysia masih belum menyerah kalah dalam usahanya memujuk EU
memikirkan semula keputusan itu, dan bulan lepas meningkatkan
bantahannya dengan menerima lawatan menteri pertahanan Perancis.
Perancis berharap dapat menjual kepada Malaysia jet pejuang bernilai
lebih kurang AS$2 bilion.
“Skandal Felda”
Pekebun kecil mengalami penurunan pendapatan bulanan kepada serendah
RM1,000-RM2,000 apabila harga sawit berada di paras rendah, memaksa
ramai daripada mereka berhutang.
Apabila dakwaan korupsi Felda timbul tahun lepas, kerajaan dikritik
hebat di kebanyakan pekan dan perkampungan kecil di nusa teras Melayu.
Seramai 112,000 peneroka Felda mengambil pinjaman untuk melabur dalam
Felda Global Ventures, sebuah unit Felda tersenarai yang mengumpul AS$3
bilion semasa dilancarkan pada 2012 dan sejak itu menyaksikan harga
sahamnya turun sebanyak 60%.
Pengerusi FGV terpaksa letak jawatan tahun lepas dan ketua
eksekutifnya digantung 4 bulan dalam satu siasatan kerajaan ke atas
transaksi meragukan di sebuah anak syarikat. Beliau kemudian menyambung
semula peranannya.
Najib mengambil langkah memujuk peneroka Felda pada Julai lalu dengan
memberikan wang, subsidi, dan penepian hutang berjumlah hampir RM1.5
bilion.
“Permainan sekarang adalah sentiasa memastikan peladang gembira,” kata Wong Chen.
Tetapi mereka tidak gembira. Kontroversi berkaitan FGV masih belum
reda. Pengkritik berkata syarikat itu membeli aset pada harga lebih
mahal, terutamanya pembelian 37% saham dalam syarikat minyak sawit
Indonesia bernilai AS$505 juta.
Pelbagai persoalan dibangkitkan bulan lepas berkenaan urusan tanah
Felda di Kuala Lumpur yang didakwa menjurus kepada jenayah penipuan.
Felda tidak menjawab permintaan untuk mendapatkan komen.
Tetapi dalam skandal urusan tanah terbaru itu, Najib berkata dalam
satu kiriman blognya, kerajaan akan “memastikan kepentingan Felda dan
peneroka tidak terjejas”.
Bagaimanapun, tahap kesabaran peneroka Felda terhadap kerajaan mungkin sudah melebihi had.
“Isu-isu ini membangkitkan kemarahan dalam kalangan peneroka Felda,”
kata Mazlan Aliman, presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan
(Anak).
“Mereka berasa kerajaan tidak serius menyelesaikan isu-isu ini, sebaliknya cuba menutupnya.”
“Kesan yang terjadi terlalu besar. Ia akan mempengaruhi perasaan
pengundi pada pilihan raya akan datang, terutamanya di kawasan Felda,”
kata Mazlan.
FMT
No comments:
Post a Comment